Tuesday, August 7, 2012

kenali musuh no. 2

Nafsu yang berkehendak 

Nafsu itu sangat jahat, begitulah Allah swt memberitahu kita dan dalam Al Quran ada diceritakan untuk ingatan kita semua. Nafsu sifatnya dungu, melulu kehendaknya yang tidak bertepi, apa sahaja ia mahu. Halal atau haram tidak dipeduli - yang penting apa sahaja perlu dimiliki. 

Kemahuannya sangat dahsyat, hebat hingga menjadi sesat. Kehendaknya sehingga membuatkan badan penat, sedangkan dia tidak tau ertinya penat. Maka badanlah yang terima risikonya akibat kehendaknya itu. Tuntutan kemahuannya cenderung kepada mudharat dan memudharatkan, rosak yang jauh merosakkan. Masyarakat huru-hara dibuatnya, manusia pecah-belah dek kerananya, peperangan terjadi pun disebabkan olehnya. 

Kehendak nafsu tidak pernah puas; dapat sedikit hendak yang banyak, setelah banyak yang sedia terasa pula sedikitnya. Hendak ditambah lagi, hendak banyak lagi, cari lagi hingga badan letih tidak bermaya.Tamak pun datang, bakhil pula duduk menyilang. Jika tidak dapat - ia melukakan hati, jika dapat ia bisa membungakan hati. 

Hati pula rosak dibuatnya - dapat menjadi bangga, tidak dapat kecewa merana. 

Hati raja diri pun menjadi pengkhianat kepada Tuhannya, derhaka kepada Penciptanya. Nafsu punya angkara akal fikiran manusia pula dirosaknya, cerdik pandai pun sedia diperbodohkannya, bahkan ditipunya buta-buta. Manusia berfikir menurut kehendak nafsunya yang melulu tanpa memikirkan akibat buruknya - sehingga para bijak pandai berfikir pun sudah tidak normal lagi. Dungu di dalam cerdik, gila dalam siuman, bodoh dalam pandai. 

Mereka yang telah dikudakan oleh nafsu itulah yang tidak mungkin memikirkan tentang kehidupan manusia lagi. 

Apabila manusia lain hidup dalam ketakutan, mereka juga yang hendak memikirkan tentang manusia yang telah rosak itu. Maka lahirlah kerosakan di dalam kerosakan. Dunia bertambah parah, untuk membaikinya bertambah bingung dan susah. Maka jalan keluarnya ialah tangkapan demi tangkapan, hukuman demi hukuman - membuatkan penjara sesak dibuatnya. 

Dalam masyarakat yang ikut nafsu, yang jahat ikut nafsu, yang kena tangkap pun ikut nafsu. Yang membuat undang-undang ikut nafsu, yang menghukum ikut nafsu, kemudiannya... apa akan terjadi? 

Sebaik dunia sudah dikuasai oleh nafsu maka dunia itu telah lesu; dunia yang telah menjadi neraka sebelum tibanya neraka sebenar. Kehidupan di dunia hari ini sudah tidak bererti apa-apa?

Manusia terancam oleh nafsunya sendiri. Syaitan-iblis tertawa menunggu hari; akan dipesongnya sepuas hati.
Manusia Paling Jahat Yang Ikut Nafsu 

Nabi SAW bersabda; "Sejahat-jahat hamba ialah yang sangat mengikutkan hawa nafsu". 

Hadis ini menceritakan kepada kita tentang orang yang paling jahat. Itulah hamba Allah yang paling jahat, iaitu yang menurutkan hawa nafsu. 

Apakah betul begitu? 

Nafsu sudah selalu sangat disebut, dikuliahkan, tapi masih tidak begitu nampak sangat jahatnya. Agama kita telah memberitahu bahawa musuh manusia yang sebenarnya bukan manusia. Kalau manusia dianggap musuh, manusia itu hanya dialatkan oleh nafsu. Musuh itu nafsu dan syaitan. Nafsu dan syaitan yang memperalatkan manusia, merosakkan manusia. Jadi musuh yang sebenarnya bukan manusia tapi nafsu. Kalau tidak ada nafsu dan syaitan manusia tidak akan dapat diperalatkan. Dengan adanya nafsu dan syaitan manusia menjadi alat untuk merosakkan manusia. 

Allah berfirman; 

"Apakah engkau tidak lihat orang yang mengambil nafsunya sebagai Tuhan?" 

Seorang hamba yang paling jahat ialah orang yang mengambil nafsunya sebagai Tuhan bukan lagi Allah swt sebagai tuhannya. Jadi memang jahat. Maka benarlah kata Rasulullah saw itu sejahat-jahat manusia adalah manusia yang mengikutkan nafsu. Rasulullah saw bersabda dengan mentafsir ayat Al-Quran tadi, maka baru nampak jahatnya. Rasulullah itu rasul maka huraiannya pendek saja. 

Di antara mukjizat rasul adalah mukjizat maknawi, iaitu sikit saja huraiannya, tetapi masuk melekat ke dalam hati para. sahabat. 

Apabila turun ayat yang menyatakan: "Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil nafsunya sebagai Tuhan", jadi Rasulullah saw menceritakan pada sahabat - sejahat-jahat hamba ialah yang sangat mengikutkan hawa nafsunya. 

Itu adalah respons Rasulullah terhadap ayat tersebut. Oleh sebab ia mukjizat maknawi maka para sahabat sudah berasa bersalah, sudah merasa syirik dengan Tuhan serasa sudah mengambil nafsu sebagai Tuhan. Para sahabat tidak lalu tidur, tidak lalu makan disebabkan terlalu risau dengan kata-kata Rasulullah saw yang pendek itu. Mereka merasakan diri yang paling jahat. Jahat sebab menggantikan nafsu sebagai Tuhan. Mereka sudah berasa syirik dengan Tuhan. 

Rasul berkata: "Sejahat-jahat hamba ialah yang memperturutkan hawa nafsunya". 

a) Allah swt memberitahu kalau diikutkan nafsu sudah menjadi syirik. Puncanya apabila nafsu telah menjadi tuhannya; 
b) Nafsu adalah jalan syaitan. Kalau diikut nafsu seolah-olah dia mencipta sebuah lebuh raya untuk syaitan supaya syaitan dapat laluan untuk pergi merosakkan manusia, diri orang itu dan juga orang lain; 
c) Orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan, berarti nafsunya itu telah menjadi agamanya; 
d) Orang yang ikut hawa nafsu artinya dia menjadikan nafsu itu sebagai ideologinya. 
e) Orang yang ikut nafsu, bererti dia mengikut jalan syaitan. Apabila mengikut nafsu artinya seseorang itu mengikut sunnah yang dibawa oleh syaitan. 

5 perkara besar : nafsu jadi Tuhan, buka highway syeitan, nafsu jadi agama, nafsu jadi ideologi, ikut sunnah syaitan. Setelah kita faham logiklah orang yang ikut nafsu adalah sejahat-jahat manusia. Satu kesalahan besar, patutnya ikut sunnah Rasul tapi dia ikut sunnah syaitan. Dia sudah jadi sejahat-jahat manusia. Bagi kita yang sedang mujahadah ini, kalau ibarat jalan, jalan tak sampai highway tapi lorong. Walaupun lorong sesak-sesak, orang ikut juga. Itu bahaya juga. Jalan kampung, denai, lorong-lorong pun jangan buat untuk syaitan. Jangan bagi peluang pada syaitan. Betullah kata Rasul : " sejahat-jahat manusia ialah orang yang ikut hawa nafsu " sebab ada 5 perkara besar tadi. 

Apabila seseorang itu memegang 5 prinsip hidup di atas kerana mengikut nafsu, maka akan ada kesan terhadap dirinya; 

i) keras hati, lupa Tuhan; 
ii) kalau kaya akan bakhil dan tamak; 
iii) kalau ada kuasa dia akan sombong, zalim dan menindas; 
iv) kalau miskin dia akan jadi orang yang tidak redha, mencuri, merokok disebabkan memperturutkan nafsu. 
v) kalau pandai dia akan sombong walaupun orangnya alim, hafal Al Quran atau hadis. Walaupun dia ulama besar di zamannya, namun ilmu dijadikan bahan komersial. Sekalipun alim, hafal Al-Quran atau hadis, namun dia komersialkan kealimannya itu. 

Maka kesannya lahir pula bahan yang lain, tentunya; 

a) hilang ukhuwah, dan kasih sayang; 
b) tak ada rasa bersama; 
c) tidak boleh bekerjasama, 
d) hilang arah tujuannya; dan 
e) akhirnya tidak boleh bersatu padu.

Kombinasi Akal Dan Nafsu 


Tasawuf 

Unsur manusia ini ada 2: lahir dan batin. 
Unsur batin manusia pula ada 3: hati, akal dan nafsu. 

Nafsu ada 7 peringkat; 

1) Ammarah, iaitu nafsu yang sangat jahat; 
2) Lawwamah, iaitu nafsu yang lemah mujahadah kerana itulah selalu sahaja mencerca dirinya; 
3) Mulhamah, iaitu nafsu yang sudah mula terpimpin dan terdidik, tetapi belum vcukup kuat - belum mendarah daging, di mana masih dalam keadaan membimbangkan; 

Itulah nafsu orang yang soleh 

4) Nafsu Mutmainnah, iaitu nafsu yang sudah tenang. Ia tidak dapat lagi digugat oleh kesenangan mahupun kesusahan - sudah dapat darjat wali kecil; 
5) Nafsu Radhiah, iaitu nafsu yang sudah redha 
apa sahaja yang telah ditentukan oleh Allah Taala sama ada senang mahupun susah; 
6) Nafsu Mardhiah, iaitu nafsu yang Tuhan pula meredhaiNya; 
7) Nafsu kamilah, iaitu kemuncak kebersihan nafsu ini yang hanya ada pada rasul-rasul dan para nabi sahaja. 

Akal pula ada 6 peringkat; 

i) Akal genius atau abqari - kekuatan berfikir yang luar biasa dan istimewa mungkin seratus juta seorang dalam satu zaman 
Akal ini mampu membuat teori atau membuat penemuan-penemuan baru 
yang dikatakan membuat matan satu-satu ilmu 

ii) Akal cerdik - ia mampu menghurai teori-teori tadi atau matan hingga mudah difahami oleh ramai; 
Mungkin daripada 10 juta manusia, seorang sahaja yang mendapat IQ ini 

iii) IQ cerdik biasa - dapat memahami sebahagian apa yang sudah dihurai dan diperjelas jika seseorang itu diberi pelajaran yang cukup 
Golongan ini agak banyak 

iv) IQ Biasa - tidak cerdik dan tidak pula bodoh. Itulah yang teramai di dunia ini; 

v) IQ Bodoh hanya faham yang asas-asas; 
vi) IQ dungu perkara yang asas pun susah untuk mereka faham. 
Di antara kombinasi hati, akal dan nafsu ada beberapa yang menarik: 

Ideal: Hati bersih & hidup, iaitu nafsu terdidik (minimal muthmainnah), akal kuat. Orang seperti ini akan dapat banyak membangun peradaban dunia & akhirat; 
Biasa: Hati bersih dan hidup, nafsu terdidik (minimal muthmainnah), akal lemah. Orang seperti ini selamat dunia akhirat, namun tidak dapat banyak berperanan secara fisik di dunia. 
Berbahaya: Hati mati, nafsu tidak terdidik (amarrah), akal kuat / genius. Orang seperti ini akan sangat mampu merusak dunia. Orang seperti ini tidak selamat di akhirat dan merusak dunia. 

Berbahaya: Hati mati, nafsu yang tidak terdidik (amarrah), akal lemah. . Orang seperti ini tidak selamat di akhirat namun kurang mampu merosakkan dunia. 
Hati dapat mempunyai sifat buruk dan sifat baik. Hati ini bisa mati/ kotor kalau tidak diberi makanan hati yang baik

Peperangan Nafsu Yang Tiada Titik Akhir. 

Hati nurani dan nafsu memang sentiasa berperang. Peperangan yang tidak kunjung padam. Peperangan yang sungguh sengit dan menggerunkan. Di dalam sejarah peperangan batin, nafsu selalu sahaja menang tanpa dapat dinafikan lagi. 

Kemenangan yang selalu di pihak nafsu itulah yang membawa bencana kepada alam. Kerananyalah berlakunya penzaliman, penindasan, peperangan dan pembunuhan, darah tumpah setiap hari. Manusia mati di merata bumi. Itu belum dikira lagi yang cacat anggota, ada yang merana sepanjang masa. 

Dahsyatnya peperangan batin ini, amat berbahaya dan kerosakannya melibatkan kehidupan yang lahir ini. Manusia kebingungan, mati akalnya, fikirannya buntu tidak tahu bagaimana hendak dilakukan agar peperangan ini kemenangannya di pihak hati nurani, bukan nafsu. 

Tidak ada profesor yang mampu menyekat kemenangan nafsu. Ahli-ahli fikir telah lama kecewa, bahkan ada yang putus asa terhadap kemaraan dan kemenangan demi kemenangan yang diperolehi nafsu. 

Penduduk dunia bingung, putus asa dan kecewa. 

Mereka telah lama jemu dengan kehidupan yang begini, kita harap Allah Taala akan lahirkan pemimpin rohani yang mampu menyekat kemenangan nafsu dan mampu memberi kemenangan kepada hati nurani agar dunia aman, damai, bahagia dan harmoni.
4 Anasir Dalam Diri 

Di dalam diri manusia itu ada empat anasir yang sangat penting, iaitu fizikal, akal, nafsu dan hati (roh). Ia perlu diketahui dan dijaga serta ditadbir dengan sebaik-baiknya. Tujuannya supaya manusia itu dapat mengenal akan sifat-sifat kemanusiaannya serta boleh berperanan sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di atas bumi ini. Kalau tidak, manusia itu hanya rupanya sahaja manusia, tetapi sifat-sifat dan perangainya adalah haiwan dan syaitan. Ia hanya berupakan manusia yang hanya merosakkan diri sendiri dan orang lain. Bahkan ia boleh menghancurkan seluruh kehidupan dan tamadun di muka bumi ini. 

Oleh yang demikian, Islam sangat mengambil berat agar keempat-empat anasir di dalam diri manusia itu dapat dijaga, dididik dan ditadbir serta diletakkan peranannya di tempat yang sebenarnya. Dengan cara itu anasir-anasir yang empat itu dapat memberikan sumbangan yang baik kepada diri dan kepada alam sejagat selaras dengan kehendak Allah terhadap manusia sebagai hamba dan khalifah-Nya. 

Apabila anasir yang ada di dalam diri manusia itu sakit: 

Fizikal: Kesannya, ia jadi lemah, menjadikannya tidak boleh aktif untuk berusaha dan bekerja. 

Akal: Apabila ia sakit, lemah untuk berfikir, pelupa, tidak boleh menerima ilmu dan maklumat, atau mungkin hilang akal sama sekali. 

Nafsu: Apabila sakit, manusia jadi tidak lalu makan, malah tidak ada kemahuan bersama isteri. 

Jiwa: Apabila jiwa sakit, ia tidak berminat untuk membuat kebaikan, tidak ada sifat timbang rasa, tidak tahu bersimpati, tidak suka menolong dan berkhidmat, tidak merasa berdosa, tidak menyesal dengan apa pun kesalahan, tidak takut dengan dosa, malah tidak boleh menerima teguran. 

Apabila jiwa atau rohani manusia itu sakit? 

Jiwa kalau dah sakit kebanyakan manusia banyak yang tidak sedar atau tidak tahu bahawa jiwanya telah ditimpa penyakit. Kalau ada orang lain yang sedar pun kemudian memberitahunya, payah dia mahu menerimanya. Bahkan dia akan marah pula kalau dikatakan kepadanya bahawa jiwanya berpenyakit. 

Kerana jiwa itu sangat seni, ia tidak dapat dilihat, ia berpusat atau bersarang di hati daging. Itulah dia yang dikatakan hati nurani. Justeru hati nurani itu (jiwa) itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, kecuali dengan mata nurani atau dengan mata hati juga serta disuluh oleh wahyu. Lantaran itulah penyakit jiwa atau penyakit hati atau dengan kata lain penyakit batin payah dikesan dan seterusnya sulit sekali untuk diubati. 

Tidak seperti penyakit lahir, iaitu penyakit yang menimpa fizikal, mudah dikesan dan dilihat kerana ia mudah dilihat oleh mata lahir atau mata kepala, mengubatinya juga agak mudah dibandingkan dengan mengubat penyakit batin atau penyakit jiwa. Doktor-doktor dan pakar-pakar penyakit lahir juga banyak tidak seperti doktor dan pakar-pakar penyakit rohani atau penyakit batin, sangat kurang dan terlalu sedikit. Oleh yang demikian orang yang ditimpa penyakit batin atau rohani ini banyak yang terbiar hingga membawa ke mati. 

Di dalam pada itu pula kebanyakan manusia terlalu serius memerangi penyakit lahir tidak seserius seperti penyakit batin. Orang tidak begitu ambil peduli, padahal penyakit batin atau rohani lebih berbahaya daripada penyakit lahir. 

Maka di situlah sarang terjahan syaitan-iblis terlaknat.
Unsur Yang Mencorakkan Manusia 

Kategori manusia yang paling jahat ialah yang sentiasa mengikut kehendak nafsunya. Apabila diiikutkan nafsu, seseorang itu tidak kira halal atau haram lagi. Apa sahaja yang dia teringin, dia bakal usahakan. Jika dia mahu bebas, tidak mahu diganggu orang maka dia tidakkan peduli. Dia akan buat sekadar memuaskan hatinya saja.

Namun pada hakikatnya, tidak semua yang diinginkan itu akan dapat diperoleh. Oleh itu jika manusia sekadar merujuk kepada kemahuan dan pertimbangan nafsu, inilah orang yang paling jahat. Terkadang-kadang dia menjadi seperti manusia syaitan dan terkadang-kadang pula jadi manusia haiwan.

Waktu dia ganas, dia menzalimi; waktu dia kasar, di waktu dia tidak peduli walaupun terpaksa membunuh orang asalkan dia dapat apa yang dia inginkan. Waktu itu hakikatnya dia adalah syaitan yang berupakan manusia. Satu contoh lain yang dapat dilihat tentang orang-orang seperti ini - sewaktu dia hendak makan, dia makan apa sahaja. Kalau tidak dapat secara baik, dia mencuri atau merampas. Apa yang penting, dia dapat makan.

Begitu juga kalau dia hendak tunaikan tuntutan biologinya, dia tidak kira siapa pun di depannya? Kalau tidak berzina, dia akan merogol; sama ada dia memujuk rayu atau dengan secara paksa. Pada waktu itu dia adalah binatang yang berwajahkan manusia.

Selain daripada itu padanya tidur mesti untuk tempoh yang lama; tanpa mengira waktu bila dia akan bangun? Apabila dia terasa lapar dia bangun sebab manusia jenis ini tidak ada tanggungjawab apa-apa yang lain. Dia akan tidur semahu-mahunya dan hanya bangun apabila terasa lapar. Ini nafsu haiwan namanya. Kalau ada kawan-kawannya yang bersifat nafsu, maka itulah yang dia layan untuk menjadi kawan. Jika tidak, masanya cuma untuk tidur - macam ular yang kekenyangan. Ular sawa itu kalau ia sudah kenyang, sebulan ia boleh tidur. Bila lapar baru ia bergerak semula mencari mangsa.

Waktu itu, manusia tersebut pada hakikatnya telah menjadi binatang yang berwajahkan manusia.

Golongan ini cukup merosakkan dunia dan peradaban manusia. Jika yang ada akal, boleh juga dia nampak akan kebaikan dalam sesetengah hal. Begitu pun, sesetengahnya yang rosak juga ada sesetengahnya yang baik. Namun yang baik itupun tidak mendapat pahala sebab dia bukan merujuk kepada syariat Tuhan, tetapi hanya kepada akalnya.

Otaknya yang menjadi Tuhan. Bukan Tuhan yang menjadi Tuhannya.

Banyak golongan manusia yang menjadikan nafsunya itu Tuhannya. Bukan Tuhan yang menjadi Tuhannya. Inilah yang Allah swt firmankan dalam Al-Quran; "Apakah tidak engkau melihat manusia menjadikan nafsunya sebagai Tuhan?" 

Dalam dunia hari ini, golongan manusia seperti inilah yang paling ramai.

Jenis yang sedikit adalah golongan manusia yang merujuk kepada rohnya . Dia yang berpegang kepada Tuhan; bertunjangkan tauhid dan takutkan Tuhan. Manusia ini adalah yang benar-benar dipimpin oleh rohnya. Kalau rohnya yang bertunjangkan tauhid itu kata boleh buat, maka dia akan buat. Kalau rohnya kata dia tidak boleh buat, dia tidak buat. Walaupun terpaksa berhadapan dengan kesusahan. Bahkan susah kerana merujuk kepada Tuhan itu juga satu daripadda contoh kebahagiaan buat dirinya. Kenapa?

Dia dapat pahala di situ. Dia tidak dapat mencapai kehendak-kehendaknya yang halal, jadi dia tidak dapat. Yang tidak halal, dia tidak mahu lakukan sebab dia takut akan Tuhannya. Di situlah punca baginya mendapat pahala. Di satu aspek, dia memang tidak dapat mencapai kehendaknya, tetapi dari segi lain, dia dapat pahala untuknya di akhirat. Ini hakikatnya.

Oleh sebab itu manusia seperti ini tahan diuji dan redha dengan segala ketetapan Tuhan. Jika ada saja perintah untuk melakukan, dia buat walaupun terpaksa berhadapan dengan ujian, namun dia tidak susah hati. Sebaliknya, dia berasa bahagia sekali. 'Apa salahnya susah, jika kerana Dia?' Sedangkan demi anak isteri pun ramai orang yang sanggup susah, apa salahnya dia bersusah-payah kerana Tuhannya?

Sesungguhnya, orang yang merujuk kepada hati yang bertunjangkan tauhid saja yang akan tahan diuji. Golongan yang merujuk kepada akal pun masih tidak kuat. Sewaktu keadaan aman dia boleh bertahan, tetapi di waktu tercabar dia tidak akan tahan sebab dia hanya bersandarkan pada otak fikiran.

Dia cuma bergantung kepada apa yang otak boleh janjikan? Dia tidak bersandar dengan Tuhan. Sementara golongan yang merujuk kepada nafsu, dia jelas tidak tahan diuji. Dia akan melawan dan akan buat apa saja. Ini kes berat. Ini benar-benar sudah jadi haiwan yang tiada akal fikiran.

Demikian kehidupan manusia yang pada terdiri daripada 3 kategori iaitu:
- yang bertuhankan akal;
- yang bertuhankan nafsu; dan
- yang merujuk kepada rohnya sendiri.

Inilah unsur yang mencorakkan kehidupan setiap manusia. Ia unsur makhluk yang kita tidak nampak. Namun kesan pada fizikalnya akan terpaksa merana angkara ketiga-tiga unsur yang tidak boleh dilihat oleh mata itu.

No comments:

Post a Comment