Showing posts with label syariat. Show all posts
Showing posts with label syariat. Show all posts

Monday, November 26, 2012

SYARIAT -IBADAH



http://pustaka-kitablama.blogspot.com/p/ibadat.html
Ibadat


Ibadat dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza sama sekali daripada konsep ibadah di dalam agama dan kepercayaan yang lain. Antara ciri-ciri tersebut ialah tidak ada sebarang perantaraan di antara Allah dan manusia, dan ibadat dalam Islam tidak terikat dengan sesuatu tempat atau masa yang tertentu.
Firman Allah SWT :
Maksudnya:“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada Ku”
(Az-Zariyat: 56)
Rasulullah SAW bersabda. ( Terjemahannya ):
“Seluruh muka bumi ini adalah masjid untukku; Suci dan bersih.”
Ibadat itu terdiri daripada berbagai bentuk, bukan satu macam sahaja sehingga manusia merasa tidak jemu dalam menunaikan ibadatnya. Peningkatan ibadat itu pula berbeza dan beraneka rupa sesuai dengan perangai, kecenderungan dan minat manusia itu sendiri.
Ibadat di dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Tiap-tiap seorang muslim boleh mencampurkan urusan dunia dan akhirat, inilah kombinasi yang indah di dalam Islam yang tidak terdapat di dalam agama-agama lain.
Pintu untuk membuat ibadat adalah terbuka di semua penjuru. Semua aktiviti manusia sehingga makan dan minum pun boleh menjadi ibadat jika ia berniat untuk mengumpulkan tenaga bagi memperjuangkan perkara-perkara yang baik seperti yang disuruh oleh Islam.

PENGERTIAN DAN RUANG LINGKUP IBADAT

Perkataan ibadat datang dari perkataan Arab. Dari segi bahasa bererti: patuh, taat, tunduk, menyembah dan perhambakan diri kepada sesuatu.
Dari segi istilah agama: Ibadat bererti tindakan menurut dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara-perkara yang disyariatkan oleh Allah dan diseru oleh para Rasul, sama ada ia berbentuk suruhan atau larangan.
Di antara ayat perintah beribadat, contohnya sebagaimana firman Allah SWT :
Maksudnya:
“Dirikanlah sembahyang serta berikan zakat.”
(An-Nisa’ : 77)
Sementara itu banyak terdapat ayat al Qur’an dan al Hadis yang mewajibkan supaya beribadat. Di antaranya:

Maksudnya :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(Az-Zaariyat : 56)
Firman Allah SWT lagi:


Maksudnya :
“Wahai sekalian manusia beribadahlah kepada Tuhan kau yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”
(Al-Baqarah : 21)
Daripada ayat di atas boleh dibuat kesimpulan berikut:
  1. Allah SWT menciptakan umat manusia dan memerintah mereka supaya melakukan ibadat serta menjunjung perintahNya dan meninggalkan larangan-laranganNya.
  2. Tujuan sebenar Allah SWT menciptakan manusia ialah untuk beribadat. Manusia diwajibkan beribadat kepada Allah SWT serta mengemukakan ibadah-ibadahnya, hanya kepada Allah tanpa menyekutui Allah dengan sesuatu makhluk.
  3. Mewajibkan dan tugas beribadat sentiasa dituntut hingga sampai menemui Allah, seseorang itu tidak akan terlepas daripada tugas tersebut walaupun jiwanya telah meningkat tinggi dan sentiasa dalam perhubungan yang kuat dengan tuhannya.
  4. Setiap peribadatan hendaklah berdasarkan keikhlasan yang lahir daripada hati yang redha, sebagai mengabdikan diri kepada Allah SWT.

PEMBAHAGIAN DAN MATLAMAT IBADAH

Ibadah terbahagi kepada tiga iaitu ibadah asas (fardu ain), ibadah fardu kifayah dan ibadah umum.
  1. Ibadah Asas.
  2. Ibadah asas ialah ibadat yang merupakan fardu ain yang merangkumi soal-soal aqidah sperti dalam rukun iman yang enam. Ia juga merupakan amalan wajib yang perlu ditunaikan oleh setiap orang muslim seperti yang terkandung dalam rukun Islam. Ini bererti bahawa sebelum kita melaksanakan ibadat yang lain, kedua-dua ibadat yang asas ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
  3. Ibadah Fardu Kifayah.
  4. Bidang ibadat ini menitikberatkan kepada amalan-amalan sosial dalam masyarakat Islam yang merupakan nadi atau urat saraf yang menghubungkan antara antara satu sama lain. Ia meliputi menyelenggarakan mayat untuk dikuburkan, menegakkan jihad dalam semua bidang, menegakkan sekolah dan institusi pengajian tinggi (dalam semua bidang yang diperlukan), mewujudkan ekonomi Islam, mewujudkan pentadbiran Islam dan melaksanakan kebajikan am.
  5. Ibadah Umum.
  6. Ibadah umum ialah segala kegiatan manusia yang tunduk kepada hukum-hukum dan nilai-nilai agama Islam. Segala aktiviti dan amalan manusia dan tugas-tugasnya sehari-hari tergolong dalam istilah ibadah jika ia dilaksana dengan ikhlas dan jujur. Ibadah umum boleh dibahagikan kepada dua bahagian :
  • Peribadi dan akhlak yang tinggi yang boleh mendatangkan pahala seperti bercakap benar, amanah jujur merendah diri, tidak mementingkan diri sendiri atau menganggap diri lebih tinggi dan mulia daripada orang lain, menunaikan janji dan tidak mengkhianati orang lain.

Firman Allah SWT: Maksudnya:
“…hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa ( maksiat )…”
( Al- Iara’ : 37 )
Sabda Rasulullah SAW ( Terjemahannya ) : 
“ Iman itu mempunyai 77 cabang dan malu ialah salah satu daripada cabang iman.
( Al Bukhari )
Termasuk dalam erti iman ialah sayang kepada saudaranya. Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
“Tidak beriman ( iman yang sempurna ) salahnya ( sesama Muslim ) sebagaimana ia mencintai dirinya . “
( Al Bukhari )
Ibadah umum dalam bentuk mengatur cara kehidupan seharian daripada pengurusan keperluan peribadi sehinggalah kepada cara membina negara, perhubungan antara bangsa, cara melaksanakan hukum dalam masa perang dan damai. Semuanya ada peraturan-peraturan akhlak yang mulia daripada perspektif Islam yang boleh membuat amalan-amalan kita itu menjadi ibadah.

SYARAT-SYARAT BAGI SESUATU AMALAN (ADAT) MENJADI IBADAH

Semua pekerjaan kita boleh menjadi ibadah jika dilakukan mengikut cara-cara yang telah ditetapkan oleh Islam. Ia mesti mengandungi perhubungan dua hala. Iaitu perhubungan kita dengan Allah dan perhubungan kita sesama manusia.
Firman Allah SWT :
Maksudnya: 
“Akan ditimpa kehinaan ke atas mereka itu di mana sahaja. Mereka berada melainkan mereka menghubungkan diri dengan Allah dan menghubungkan diri sesama manusia”.
Kalau kita hanya menegakkan salah satu dari dua hubungan ini sahaja, umpamanya perhubungan sesama manusia sahaja tanpa memberikan perhatian kepada perhubungan dengan Allah SWT dan tidak menurut perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, ia tidak dikira ibadah dan Allah mungkin menimpakan azab dan kehinaan ke atas kita.
Oleh itu, amalan-amalan biasa hanya akan diakui sebagai ibadat jika ia memenuhi syarat-syarat berikut:
  1. Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam, iaitu sesuai dengan hukum-hukum syariat dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut.
  2. Amalan-amalan itu dikerjakan dengan niat yang baik dan diredhai Allah. Sebagai seorang muslim amalan tersebut mestilah untuk memelihara kehormatan dirinya, menyenangkan keluarganya, memberi manfaat kepada umatnya dan dapat memakmurkan bumi Allah sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah SWT.
  3. Amalan-amalan itu hendaklah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati kehendak-kehendak hadis Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim yang bererti; “Sesungguhnya Allah mewajibkan kebaikan pada tiap-tiap sesuatu.”
  4. Ketika membuat kerja-kerja hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang.
  5. Dalam mengerjakan amalan-amalan dunia itu tidak lalai dan tidak cuai dari menjalankan kewajipan ibadat yang khusus seperti solat, puasa dan sebagainya sesuai dengan firman Allah SWT :

Maksudnya :
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjualbeli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”
(An-Nuur : 37)
Jadi bila sahaja seorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari dia adalah dikira sentiasa beribadat kepada Allah meskipun dia tidak duduk di masjid-masjid atau di surau-surau ketika membuat kerja-kerja tersebut.

KESIMPULAN

Konsep ibadah dalam Islam adalah amat luas dan menyeluruh, merangkumi tingkah laku dan amalan manusia seluruhnya yang dikerjakan menurut ajaran Islam. Ibadah mempunyai kaitan yang rapat dengan akhlak. Menerusi ibadah yang betul akan melahirkan kelakuan yang baik bersopan dan berakhlak mulia. Nilai akhlak berpunca daripada agama ditetapkan oleh al Qur’an dan al sunnah. Setiap amalan yang memenuhi syarat-syarat berkenaan boleh menjadi ibadah.

SYARIAT -SEMBAHYANG



Solat...Dipetik daripada http://pustaka-kitablama.blogspot.com/p/solat.html

PENGERTIAN SOLAT

Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan. Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.
Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy.Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali sebagai rukun qalbiyy.

WAKTU SEMBAHYANG

Waktu sembahyang fardhu lima waktu iaitu Zuhur, ‘Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh telah dinyatakan dengan terperinci dari awal hingga akhir oleh Sunnah Nabi. Secara umumnya, waktu-waktu itu telah dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam melalui sabdanya yang bermaksud:

“Jibril telah mengimami saya sebanyak dua kali. Beliau bersembahyang Zuhur bersamaku ketika tergelincir matahari dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu benda telah sama panjangnya dengan sesuatu itu, dan Maghrib ketika terbenam matahari dan ‘Isya’ ketika terbenam syafaq (iaitu cahaya merah) dan Subuh ketika terbit fajar. Pada keesokan harinya, Jibril bersembahyang bersama saya solat Zuhur ketika bayang-bayang sesuatu berada sepanjangnya dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu berkedudukan dua kali panjangnya dan Maghrib ketika orang berbuka puasa dan ‘Isya’ ketika sepertiga malam dan Subuh ketika menguning cahaya pagi. Kemudian Jibril berkata: Inilah waktu sembahyang Nabi-Nabi sebelum engkau. Waktu sembahyang adalah di antara waktu ini.”



Secara terperincinya, waktu-waktu bagi setiap solat fardhu adalah seperti berikut:
  1. Waktu Zuhur bermula dengan tergelincir matahari (zawal), iaitu matahari condong daripada tengah-tengah langit ke arah barat dengan keadaan sesuatu benda mempunyai sedikit bayang ketika matahari terpacak dan matahari mula condong ke arah barat. Waktu Zuhur berakhir apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya.
  2. Waktu ‘Asar (solat al-wusta) bermula dengan berakhirnya waktu Zuhur, iaitu apabila bayang sesuatu benda yang sama panjang dengan benda itu mula bertambah dengan pertambahan yang paling minimum. Ia berakhir dengan terbenamnya matahari.
  3. Waktu Maghrib, ia bermula dengan terbenam matahari dan berterusan sehingga hilang cahaya syafaq (cahaya merah) dengan tidak kelihatan sedikitpun kesannya.
  4. Waktu ‘Isya’ bermula dengan tamatnya waktu Maghrib, iaitu hilang syafaq ahmar (cahaya merah) dan berterusan hingga munculnya fajar sadiq, iaitu beberapa ketika sebelum naik fajar.
  5. Waktu Subuh bermula dengan muncul fajar sadiq dan berterusan hinggalah naik matahari (syuruq). Fajar sadiq ialah cahaya putih yang menyerlah mengikut garis lintang ufuk.

Waktu-Waktu Yang Ditegah Melakukan Solat

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:
  1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.
  2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.
  3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).
  4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.
  5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.

Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:

  1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.
  2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.
  3. Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:
  4. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.
  5. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).
  6. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.
  7. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.

Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.

Syarat-Syarat Sah Solat



Syarat-Syarat Solat

Syarat dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau dikenali sebagai syarat wajib dan syarat sah atau tunai.

Syarat Wajib Solat

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang. Syarat-syarat wajib dalam sembahyang adalah seperti berikut:
  1. Beragama Islam.
  2. Baligh.
  3. Berakal.
  4. Suci daripada haidh dan nifas.
  5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan. Sembahyang tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak.
  6. Sampai seruan agama Islam. Sembahyang tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam.

Syarat Sah Solat

Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang atau dengan kata lain kesahihan sesuatu sembahyang bergantung kepadanya. Syarat-syarat sah sebahyang adalah seperti berikut:
  1. Suci daripada hadath kecil dan besar.
  2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.
  3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.
  4. Menutup aurat.
  5. Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah).

Rukun Solat

Sembahyang sama ada fardhu atau sunat mestilah memenuhi tiga belas rukun yang utama seperti berikut:
  1. Berdiri tegak dengan tidak condong atau miring hinggakan sampai ke tahap ruku‘ tanpa keuzuran bagi mereka yang berkuasa berbuat demikian dalam sembahyang fardhu. Dalam sembahyang sunat, berdiri tegak tidak diwajibkan sebaliknya hukumnya hanyalah sunat.
  2. Niat dalam hati ketika melakukan takbiratul ihram dengan memusatkan qasad hendak melakukan sembahyang sambil mengingati jenis dan bentuknya sama ada fardhu atau sunat.
  3. Takbiratul ihram.
  4. Cara takbir dilakukan ialah dengan lafaz . Boleh juga dengan lafaz atau .
    Syarat-syarat takbir ialah :
    1. Ucapan takbir dilakukan semasa dalam kedudukan berdiri.
    2. Melafazkan takbir dengan keadaan menghadap ke arah qiblat.
    3. Takbir diucapkan dalam bahasa Arab kecuali tidak mampu berbuat demikian dan tidak sempat belajar, maka boleh dengan terjemahannya tetapi mesti dipelajari.
    4. Semua huruf yang diucapkan itu didengari oleh diri sendiri.
    5. Ucapan itu hendaklah terkemudian daripada ucapan imam.
    6. Semasa melafazkan takbir hendaklah disertai dengan niat.
  5. Membaca Al-Fatihah. Ia adalah rukun pada setiap raka‘at semasa berdiri atau kedudukan lain sebagai gantiannya dalam semua jenis sembahyang. Syarat-syaratnya adalah:
    1. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    2. Bacaan itu hendaklah dengan susunan yang betul, meneliti tempat keluar (makhraj) huruf yang betul dan dinyatakan dengan segala sabdunya.
    3. Janganlah terlampau berlagu hinggakan boleh mengubah maknanya.
    4. Bacaan itu hendaklah dalam bahasa Arab.
    5. Bacaan itu hendaklah dalam keadaan berdiri.
    6. Semua ayat hendaklah dibaca dengan sempurna dalam setiap raka‘at kecuali ma’mum masbuq dan jika imam membaca terlalu cepat.

  6. Ruku‘, iaitu tunduk dengan kadar membolehkan dua tapak tangannya boleh sampai kepada kedua-dua lutut. Ini yang paling kurang dan sebaik-baiknya tunduk hinggakan belakangnya sama dengan tengkuk dan menegakkan dua betis dan memegang lutut dengan tangan sambil jari-jari mencengkamnya. Syarat-syarat ruku‘ ialah tunduk dengan kadar yang dinyatakan iaitu sampai dua tapak tangan ke lutut tanpa diniatkan ruku‘ itu perkara lain selain sembahyang, dan dengan tama’ninah iaitu berterusan ruku‘ dengan keadaan tenang sekadar membaca satu tasbih.
  7. I‘tidal selepas ruku‘. I‘tidal bermaksud bangkit daripada ruku‘ dan kembali kepada keadaan berdiri atau gantiannya beserta dengan tama’ninah. Syarat-syaratnya ialah dilakukan tanpa tujuan lain selain mendirikan sembahyang, dilakukan dengan tama’ninah dengan kadar sekurang-kurangnya bacaan satu tasbih dan tidak terlalu panjang melebihi tempoh bacaan Al-Fatihah kerana ia adalah rukun pendek.
  8. Sujud dua kali dalam setiap raka‘at. Maksud sujud ialah sentuhan dahi orang yang bersembahyang ke tempat sujud. Syarat-syarat sujud ialah:
    1. Terbuka dahi tanpa berlapik dan tidak tertutup ketika melakukannya.
    2. Sujud hendaklah berlaku di atas tujuh anggota iaitu dahi, kedua-dua tangan (tapaknya), kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki dengan serentak.
    3. Bahagian paling bawah (punggung) hendaklah terangkat melebihi bahagian yang paling atas (kepala) sekadar yang termampu.
    4. Sujud tidak dilakukan di atas pakaian yang bersambung dengannya yang bergerak dengan pergerakannya.
    5. Tidak diniatkan selain daripada sujud sembahyang.
    6. Dahi hendaklah ditekan ke tempat sujud dengan tekanan yang sederhana sekadar memberi kesan pada kain jika terdapat di bawahnya.
    7. Tama’ninah ketika sujud dengan kadar mengucap sekali tasbih. 
  9. Duduk antara dua sujud. Caranya ialah duduk dengan sama rata beserta tama’ninah pada setiap raka‘at sama ada sembahyang secara berdiri atau tidak. Syarat-syaratnya ialah:
    1. Bangkit dari sujud itu kerana melakukan ibadah bukan disebabkan perkara lain.
    2. Jangan terlalu lama hingga melebih tempoh bacaan tasyahhud yang paling pendek.
    3. Dilakukan dengan tama’ninah iaitu sekurang-kurangnya diam seketika selepas pergerakan anggota dan sebaik-baiknya melebihi batasan itu.
  10. Duduk tahiyyat akhir yang disusuli selepasnya oleh salam. Ia dilakukan pada raka‘at akhir setiap sembahyang dan perlu untuk membaca zikir wajib iaitu tasyahhud. Cara duduk yang sunat ialah secara tawarru‘, iaitu duduk dengan dikeluarkan kaki kiri dari sebelah kanannya dan pangkal peha diletakkan di atas tanah, dan menegakkan kaki kanan serta mengeluarkan kaki kiri dari bawah kaki kanan dan menekan jari kaki kanan ke atas bumi (melipatkannya) supaya hujung jari kaki kanan itu menghala ke qiblat.
  11. Membaca tasyahhud semasa duduk kali terakhir. Lafaz tasyahhud yang sempurna ialah seperti berikut:
  12. Syarat-syarat tasyahhud adalah seperti berikut:
    1. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    2. Bacaan hendaklah berurutan tanpa diselangi oleh diam yang lama atau zikir lain.
    3. Bacaan itu hendaklah dilakukan semasa duduk kecuali jika berlaku keuzuran.
    4. Bacaan itu hendaklah dengan bahasa Arab melainkan jika tidak mampu.
    5. Semasa membacanya hendaklah menitikberatkan tempat keluar huruf (makhraj) dan segala shaddahnya (baris sabdu).
    6. Pembacaannya hendaklah secara tertib dari segi kalimah-kalimahnya.
  13. 11. Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud (tahiyyat akhir) semasa duduk kali terakhir. Lafaz salawat hendaklah sekurang-kurangnya . Seelok-elok lafaz salawat ialah salawat Al-Ibrahimiyyah. Syarat-syarat bacaan salawat ialah:
    1. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    2. Hendaklah dengan lafaz “Muhammad” . Boleh juga dengan lafaz “Rasulullah” atau “An-Nabiy” .
    3. Hendaklah dengan bahasa Arab kecuali tidak mampu.
    4. Bacaan itu hendaklah tertib dari segi sighahnya dan dibaca selepas tasyahhud.
  14. Salam yang pertama yang bertujuan untuk keluar daripada sembahyang dan dilakukan semasa duduk kali terakhir. Syarat-syaratnya ialah:
    1. Dimulakan kalimah salam dengan alif dan lam iaitu , maka tidak boleh menggantikannya dengan tanwin .
    2. Diucapkan dengan “kaf al-khitab” bagi memfokuskan ucapan salam itu kepada pihak kedua.
    3. Setiap kalimah hendaklah disambung dengan yang lainnya.
    4. Diucapkan dengan dimasukkan “mim al-jama‘” yang menunjukkan pihak yang ditujukan salam itu pihak ramai.
    5. Diucapkan salam dengan keadaan tubuh badan menghadap qiblat dengan dadanya.
    6. Ucapan itu hendaklah diiringi dengan niat untuk keluar daripada sembahyang, tidak bertujuan untuk pemberitahuan semata-mata.
    7. Ucapan itu hendaklah dilakukan semasa berkeadaan duduk.
    8. Ucapan dilakukan dalam bahasa Arab kecuali mereka yang tidak sempat belajar.
    9. Ucapan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri jika tiada sebarang halangan.
  15. Tertib di antara semua rukun sembahyang tanpa mendahulukan rukun yang sepatutnya dikemudiankan.

Perkara Sunat Dalam Solat

Sunat ketika melakukan sembahyang ada dua jenis iaitu sunat ab‘adh dan sunat hai’ah. Sunat ab‘adh ialah setiap perkara yang dimestikan sujud sahwi pada akhir sembahyang jika meninggalkannya. Sementara sunat hai’ah pula, setiap perkara yang jika ditinggalkan tidak dikenakan sujud sahwi.

Sunat Ab‘adh

  1. Tasyahhud awal, iaitu tasyahhud yang dibaca semasa duduk selepas melakukan setiap dua raka‘at dalam sembahyang Zuhur, ‘Asar, Maghrib dan ‘Isya’.
  2. Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud awal tanpa disambung dengan salawat ke atas ahli keluarga Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.
  3. Salawat kepada ahli keluarga Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud akhir.
  4. Duduk bagi mengerjakan setiap tiga perkara sunat ab‘adh di atas.
  5. Bacaan qunut semasa i‘tidal pada raka‘at sembahyang Subuh, pada raka‘at akhir sembahyang witir ketika separuh kedua bulan Ramadhan iaitu selepas malam kelima belas.

Sunat Hai’ah

Sunat hai’ah sangat banyak semasa melakukan sembahyang. Secara umumnya,sunat hai’ah boleh diringkaskan kepada perkara-perkara berikut:
  1. Mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram, mula hendak ruku‘ dan bangkit daripadanya, dan ketika bangun daripada tasyahhud awal.
  2. Meletakkan tangan kanan ke atas belakang tangan kiri di bawah dada, di atas pusat sambil mengarahkan sedikit ke arah hati.
  3. Melihat ke tempat sujud sambil menundukkan kepala sedikit.
  4. Membaca tawajjuh atau doa iftitah secara senyap.
  5. Membaca al-isti‘azah secara perlahan selepas tawajjuh dan sebelum Al-Fatihah.
  6. Selain daripada itu, ma’mum hendaklah menyaringkan bacaan pada tempat-tempat yang menghendaki sedemikian iaitu semasa sembahyang Subuh, dua raka‘at pertama sembahyang Maghrib dan ‘Isya’, Juma‘at, dua hari raya, gerhana bulan, istisqa’, tarawih, witir ramadhan, dua raka‘at selepas tawaf pada malam hari dan waktu Subuh. Pada selain waktu-waktu tersebut hendaklah memperlahankan suara.
  7. Membaca selepas Al-Fatihah sama ada oleh imam, ma’mum atau bersendirian.
  8. Membaca surah atau paling kurang tiga ayat selepas bacaan Al-Fatihah. Disunatkan kepada imam atau persendirian dan ma’mum yang tidak mendengar bacaan imam kecuali pada raka‘at ketiga dan keempat kepada selain masbuq dengan dua raka‘at pertama.
  9. Bertakbir ketika melakukan perpindahan dari satu rukun ke rukun yang lain.
  10. Membaca semasa mengangkat kepala daripada ruku‘.
  11. Membaca tasbih ketika ruku` dan sujud sebanyak tiga kali.
  12. Meletakkan kedua-dua tangan pada kedua-dua paha ketika duduk tasyahhud.
  13. Duduk secara iftirash dalam semua tempat dikehendaki duduk kepada selain mereka yang masbuq dan yang lupa.
  14. Membaca salawat Ibrahimiyyah selepas tasyahhud akhir.
  15. Berdoa dan ta‘awwuz iaitu meminta perlindungan kepada Allah selepas tasyahhud akhir.
  16. Memberikan salam kedua selepas salam fardhu yang pertama.
  17. Khusyu‘, iaitu menghadirkan hati semasa mengerjakan sembahyang dan memberi perhatian kepada setiap patah perkataan yang diucapkan.

Perkara Makruh Dalam Sembahyang

Makruh mengikut jumhur ulama’ bermaksud tanzihiyyah, iaitu sesuatu yang patut dielakkan. Jika seseorang melakukan sembahyang secara makruh, maka sebaiknya dia hendaklah melakukannya semula sekiranya waktu masih ada. Secara umumnya, ukuran dalam menentukan sesuatu perkara makruh ialah setiap perbuatan dan perkara yang bertentangan dengan As-Sunnah.
Antara perkara-perkara makruh dalam sembahyang ialah seperti berikut:
  1. Meninggalkan sesuatu perkara sunat dalam sembahyang dengan sengaja.
  2. Melakukan bacaan yang menyonsang dari susunan yang ada dalam Al-Qur’an.
  3. Membaca dalam raka‘at kedua bacaan surah yang lebih panjang daripada yang dibaca dalam raka‘at pertama.
  4. Mengulangi pembacaan surah yang sama dalam satu raka‘at yang sama atau dalam dua raka‘at.
  5. Melakukan sesuatu yang tidak bermakna dengan tangannya tanpa ada sebab yang perlu.
  6. Memejamkan kedua-dua mata semasa sembahyang tanpa keperluan.
  7. Berpaling dengan dada masih menghadap qiblat ketika sembahyang tanpa sebarang sebab.
  8. Berdiri sebelah kaki atau mengangkat sebelah kaki lalu disandarkan kepada kaki satu lagi.
  9. Bersembahyang dalam keadaan menahan keinginan untuk membuang air kecil, air besar atau menahan daripada terkentut.
  10. Mengerjakan sembahyang dalam keadaan bersandar ke dinding atau sebagainya.
  11. Membaca surah atau ayat dalam dua raka‘at akhir sembahyang fardhu kecuali ma’mum yang masbuq yang ketinggalan raka‘at pertama dan kedua.
  12. Membaca nyaring di tempat yang sepatutnya perlahan atau sebaliknya.
  13. Menghamparkan kedua belah lengan semasa sujud seperti yang dilakukan oleh singa.
  14. Mengerjakan sembahyang dengan menggunakan pakaian harian atau pakaian untuk bekerja sekiranya mempunyai pakaian yang lain.
  15. Sembahyang tanpa berbaju sedangkan dia mampu memakainya.
  16. Bersembahyang dengan pakaian yang terlukis dengan gambar binatang ataupun manusia.
  17. Mengerjakan sembahyang di tempat-tempat seperti bilik mandi, pasar, tempat lalu lalang, kubur, gereja, tempat buangan sampah, tempat penyembelihan dan kandang binatang.

Perkara Yang Membatalkan Solat

Sembahyang akan terbatal apabila seseorang yang bersembahyang melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
  1. Percakapan yang disengajakan selain Al-Qur’an, zikir dan doa. Percakapan yang membatalkan itu sekurang-kurangnya terdiri daripada dua huruf atau lebih sekalipun tidak difahami maknanya. Begitu juga jika hanya satu huruf tetapi difahami maknanya.
  2. Melakukan perbuatan atau pergerakan luaran yang banyak (lebih tiga kali) dan berurutan.
  3. Gugur salah satu daripada syarat-syarat sembahyang. Antaranya:

    1. Berlaku hadath sama ada kecil atau besar sebelum salam pertama secara sengaja atau tidak kecuali hadath yang berterusan seperti seorang yang berpenyakit buasir serius.
    2. Terkena najis yang tidak dimaafkan sama ada pada badan, pakaian atau tempat sembahyang tanpa sempat dibuang atau dielakkan serta merta sebelum berlalu tempoh tama’ninah yang paling minima.
    3. Aurat terbuka secara sengaja walaupun ditutup serta merta atau tidak sengaja tetapi sempat menutupnya serta merta
    4. Dada terpesong daripada qiblat dalam keadaan sedar.
    5. Orang yang bersembahyang menjadi gila, pengsan atau mabuk semasa melakukannya.
  4. Berlaku kepincangan pada salah satu rukun sembahyang seperti dalam keadaan berikut:
    1. Mengubah niat dengan berazam untuk keluar daripada sembahyang atau menggantungkan tamat sembahyang dengan sesuatu perkara.
    2. Syak pada niat, takbiratul ihram atau pada jenis sembahyang yang diniatkan.
    3. Merasa ragu-ragu atau syak sama ada telah memutuskan sembahyang atau tidak.
    4. Sesuatu rukun diputuskan dengan sengaja seperti melakukan i‘tidal sebelum sempurna ruku‘ secara tama’ninah.
    5. Menambah mana-mana rukun dengan sengaja seperti menambah ruku‘ atau sujud.
    6. Memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja.

  5. Makan dan minum semasa sembahyang dengan banyak melebihi uruf.
  6. Ketawa, berdehem, menangis, mengerang kesakitan yang dilakukan dengan sengaja hingga mengeluarkan bunyi yang jelas sekadar dua huruf sekalipun tidak difahami.
  7. Murtad walaupun dalam bentuk gambaran kasar bukannya secara hukmi.

Pembahagian Solat - Solat Fardhu



Jenis-Jenis Solat

Solat terbahagi secara umumnya kepada dua jenis sahaja iaitu solat fardhu dan solat sunat. Solat Juma‘at juga merupakan salah satu solat fardhu tetapi ia disyari‘atkan bagi menggantikan solat Zuhur kepada golongan tertentu. Solat fardhu juga kadangkala dilakukan semasa bermusafir dan cara-caranya lebih berbentuk fleksibel. Sementara solat sunat nafilah mempunyai banyak jenis dan bentuknya.

Solat Fardhu


Bentuk Solat Fardhu

Solat fardhu mempunyai beberapa bentuk ketika hendak melakukannya, iaitu:
  1. Solat Berjama‘ah.
  2. Solat Juma‘at.
  3. Solat Musafir.
  4. Solat Khauf.

Sembahyang Berjema'ah

Sembahyang berjama‘ah bermaksud menggabungkan sembahyang ma’mum dengan sembahyang imam. Jama‘ah terhasil dengan bilangan dua orang atau lebih. Hukumnya adalah fardhu kifayah kecuali sembahyang Juma‘at. Oleh itu, ia mesti dilakukan oleh sekumpulan penduduk dalam sesebuah tempat atau kawasan. Namun demikian, terdapat beberapa keuzuran yang dibenarkan syara‘ untuk tidak menghadirkan diri ke masjid bagi mendirikan sembahyang berjama‘ah seperti berikut:
  1. Keuzuran umum seperti hujan, angin yang kuat pada waktu malam, jalan terlalu becak dan berlumpur.
  2. Keuzuran khusus seperti sakit, keadaan yang terlalu lapar dan dahaga, takut kepada orang yang akan melakukan kezaliman ke atas diri dan hartanya, ketika menahan diri daripada berlaku hadath (kecil) disebabkan kencing dan buang air besar. Begitu juga seseorang yang makan makanan yang berbau busuk, atau berpakaian dengan pakaian yang kotor dan berbau yang boleh mengganggu orang lain.

Syarat Imam

  1. Imam bukanlah seorang ummi yang tidak betul bacaan al-fatihah, cacat dari segi sebutan, ketiadaan syaddah dan sebagainya, sedangkan ma’mum lebih baik daripadanya.
  2. Imam bukan dari kalangan wanita jika ma’mumnya lelaki.
  3. Imam yang hendak diikuti itu bukanlah sebagai pengikut kepada imam lain.

Cara mengikut Imam

  1. Ma’mum hendaklah tidak berada di hadapan imam. Makruh sekiranya ma’mum berdiri selari dengan imam, tetapi yang sunatnya ialah di belakang sedikit dari imam. Ukuran yang diambilkira sama ada berada di hadapan atau di belakang ialah tumit kaki.
  2. Ma’mum hendaklah mengikut imam dengan tidak mendahului takbiratul ihram imam. Hukumnya makruh jika dilakukan serentak dengan imam pada selain takbiratul ihram.
  3. Ma’mum hendaklah mengikuti perbuatan imam dalam semua perpindahan dari satu rukun kepada satu rukun yang berbentuk perbuatan (rukun fi‘liyy) dengan keadaan perbuatan ma’mum hendaklah terkemudian daripada imam, melainkan jika ada keuzuran seperti bacaannya lambat, maka dia boleh tertinggal daripada mengikut imam dengan tiga rukun yang panjang.
  4. Ma’mum hendaklah mengetahui perpindahan imam dari satu rukun ke satu rukun sama ada dengan melihatnya atau melihat sesetengah daripada saf atau mendengar suara imam atau muballigh (penyampai takbir imam).
  5. Jarak tempat antara ma’mum dan imam itu hendaklah tidak terlalu jauh jika kedua-duanya sembahyang di luar masjid. Jika sembahyang didirikan dalam masjid, maka ikutan ma’mum itu sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya.
  6. Ma’mum hendaklah berniat berjama‘ah atau mengikut imam ketika takbiratul ihram.

Sembahyang Jumaat

Sembahyang Juma‘at telah difardhukan di Makkah sejurus sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam juga menegaskan dengan sabdanya: “Sembahyang Juma‘at adalah tanggungjawab yang wajib ke atas setiap orang Islam.”

Syarat Wajib Juma‘at

  1. Mukallaf, iaitu seorang yang beragama Islam, baligh dan berakal.
  2. Kemerdekaan yang sempurna. Hamba tidak diwajibkan Juma`at.
  3. Lelaki, ia tidak diwajibkan ke atas wanita kerana mereka sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga, seterusnya menimbulkan kesulitan kepada mereka.
  4. Sihat tubuh badan, tidak sakit yang memudaratkan.
  5. Bermukim di tempat Juma`at didirikan.

Syarat Sah Juma‘at

  1. Sembahyang itu hendaklah didirikan dalam sempadan kawasan bangunan dan binaan sama ada di pekan atau di kampung yang penduduknya bertaraf mastautin.
  2. Bilangan ahli Juma‘at yang cukup syarat tidak kurang daripada empat puluh orang yang cukup syarat.
  3. Bilangan ahli Juma‘at berkekalan dari awal khutbah hingga tamatnya sembahyang.
  4. Didirikan dalam waktu Zuhur. Jika waktu Zuhur telah sempit, tidak cukup untuk didirikan sembahyang Juma‘at, maka mereka wajib mendirikan sembahyang Zuhur.
  5. Tidak berbilang-bilang Juma‘at pada satu tempat selama ia boleh dibuat dalam satu jama‘ah kecuali penduduk terlalu ramai sedangkan tempat adalah sempit.

Fardhu Juma‘at

Ia terdiri daripada dua fardhu, iaitu khutbah dan sembahyang dua raka‘at. Sembahyang Juma‘at hendaklah didirikan dengan dua raka‘at secara berjama‘ah selepas khutbah. Untuk mendapatkan jama‘ah dalam sembahyang Juma‘at, hanya disyaratkan mendapatkan satu raka‘at yang penuh. Sekiranya ia diperolehi, maka sembahyang Juma‘at adalah sah dan jika tidak, ia wajib ditukar kepada Zuhur.

Rukun Khutbah

  1. Memuji Allah subhanahu wata‘ala dengan menggunakan mana-mana lafaz sekalipun terdapat di dalam isi kandungan ayat yang dibaca.
  2. Bersalawat ke atas Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam dengan mana-mana perkataan yang memberi maknanya.
  3. Berpesan supaya bertaqwa kepada Allah dengan menggunakan apa jua lafaz.
  4. Membaca satu ayat daripada Al-Qur’an yang dapat memberi kefahaman dan mempunyai makna yang jelas pada salah satu daripada dua khutbah.
  5. Berdoa untuk orang-orang yang beriman pada khutbah yang kedua.

Syarat Khutbah

  1. Khatib berdiri ketika berkhutbah sekiranya ia berkuasa untuk berbuat demikian. Kedua-dua khutbah tersebut hendaklah dipisahkan dengan duduk.
  2. Tidak dikemudiankan daripada sembahyang.
  3. Khatib berada dalam keadaan suci daripada hadath kecil dan besar, serta najis yang tidak dimaafkan sama ada pada pakaian, badan atau tempatnya dan berada dalam keadaan menutup ‘aurat.
  4. Rukun-rukun khutbah dibaca dalam bahasa Arab biarpun tidak difahami oleh para jama‘ah.
  5. Berturut-turut di antara rukun-rukun khutbah dan juga antara khutbah pertama dengan khutbah kedua serta antara khutbah kedua dengan sembahyang.
  6. Rukun kedua-dua khutbah tersebut hendaklah didengari oleh empat puluh orang yang mencukupi syarat-syarat sah sembahyang Juma‘at.

Sembahyang Orang Yang Bermusafir

Bermusafir adalah suatu yang berbentuk azab. Disebabkan musafir, manusia kehilangan perasaan-perasaan tenang dan kerehatan. Oleh itu, Allah subhanahu wata‘ala telah memberikan kepada mereka dua bentuk keringanan dalam sembahyang seperti berikut:
  1. Memendekkan bilangan raka‘at yang dinamakan qasar.
  2. Menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dalam satu waktu dinamakan jama‘.

Perjalanan yang membolehkan sembahyang jama‘ dan qasar disyaratkan :
  1. Jarak jauh perjalanan hendaklah sampai dua marhalah iaitu lebih kurang 81 km atau lebih.
  2. Perjalanan hendaklah menuju ke arah tertentu dan diketahui bahawa tempat yang dimaksudkan itu jauh.
  3. Perjalanan itu bukan dengan tujuan maksiat. Bermusafir dengan tujuan berniaga arak, mengambil riba atau menyamun adalah maksiat maka tidak diberi kelonggaran.

Sembahyang Qasr

Ia adalah sembahyang fardhu dengan memendekkan setiap sembahyang empat raka‘at iaitu Zuhur, ‘Asar dan ‘Isya’ menjadi dua raka‘at dalam perjalanan yang diharuskan.
Syarat-syarat sah sembahyang qasar seperti berikut :
  1. Sembahyang itu telah masuk waktu ketika bermusafir dan hendaklah ditunaikan ketika musafir.
  2. Orang yang bermusafir hendaklah telah sampai ke sempadan bandar atau pekan yang hendak ditinggalkan atau melepasi bangunan-bangunan di pekan tersebut.
  3. Orang bermusafir tidak berniat untuk tinggal di tempat tujunya selama empat hari atau lebih, tidak termasuk hari sampai dan pulang.
  4. Orang yang musafir tidak menjadi ma’mum kepada orang yang bermukim, maka sembahyang wajib ditunaikan dengan bilangan raka‘at yang sempurna.

Sembahyang Jama'

Sembahyang jama‘ bermaksud menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dalam satu waktu.
Sembahyang jama‘ terbahagi kepada dua bahagian:

  1. Jama‘ taqdim iaitu menunaikan sembahyang kedua dalam waktu yang pertama. Syarat-syarat jama‘ taqdim adalah seperti berikut :
    a) Ditunaikan secara tertib antara keduanya, iaitu dengan menunaikan sembahyang yang pertama terlebih dahulu kemudian diikuti dengan sembahyang yang kedua.
    b) Hendaklah berniat jama‘ untuk menunaikan sembahyang kedua ke dalam waktu yang pertama sebelum selesai sembahyang yang pertama ketika takbiratul ihram.
    c) Ditunaikan secara berturut-turut (muwalat) iaitu sembahyang yang kedua ditunaikan segera sebaik sahaja selesai daripada salam sembahyang pertama tanpa dipisahkan oleh sesuatu pun sama ada zikir, sembahyang sunat atau lain-lain.
    d) Perjalanan berterusan sehingga dilakukan sembahyang yang kedua.
    e) Sembahyang yang pertama hendaklah diyakini bahawa didirikan dengan sah walaupun sembahyang itu mesti ditunaikan semula kerana mungkin ketiadaan air untuk berwudhu’.
  2. Jama‘ ta’khir iaitu melewatkan sembahyang pertama ke dalam waktu kedua. Sembahyang secara jama‘ ta’khir tidak disyaratkan tertib antara kedua sembahyang bahkan boleh memulakannya dengan mana-mana sembahyang yang dikehendaki. Juga tidak disyaratkan muwalat (berturut-turut) tetapi ia disunatkan. Syarat-syaratnya ialah :
    a) Berniat hendak melewatkan sembahyang pertama ketika dalam waktunya dalam jarak masa yang boleh ditunaikan sembahyang tersebut.
    b) Orang yang bermusafir itu hendaklah terus berada dalam keadaan musafir sehingga kedua-dua sembahyang selesai didirikan.

  3. Sembahyang Khawf (Ketika Takut)

    Sembahyang khawf ialah sembahyang fardhu yang didirikan ketika berlaku peperangan. Ia istimewa daripada sembahyang lain disebabkan beberapa rukhsah (kemudahan) yang diberikan terutamanya ketika berjama‘ah.
    Sembahyang khawf mempunyai dua keadaan berdasarkan keadaan peperangan yang berlaku, iaitu:
    1. Keadaan berjaga-jaga dan peperangan belum tercetus.
    2. Ketika peperangan tercetus, saf-saf bertaburan dan suasana membimbangkan.

    Keadaan Berjaga-Jaga Dan Peperangan Belum Tercetus

    Bagi keadaan ini terdapat dua cara yang berbeza dengan sebab perbezaan kedudukan musuh:
    1. Ketika musuh berada dan terkawal pada arah qiblat dan peperangan belum lagi tercetus. Imam hendaklah menyusun tentera kepada dua saf, empat atau lebih dan bersembahyang bersama-sama dengan mereka. Apabila imam sujud, saf yang berada di belakang imam hendaklah turut sujud bersama dengan imam. Manakala yang baki hendaklah menjaga rakan-rakan mereka yang sedang sujud daripada gerakan musuh. Apabila imam dan saf yang sujud bersamanya bangun, maka saf yang berdiri tadi hendaklah sujud sehingga mereka bersama dengan imam ketika duduk tasyahhud. Selepas itu semuanya memberi salam bersama dengan imam. Inilah cara sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah dalam peperangan Asfan.
    2. Ketika musuh bertebaran, bukan berada di arah qiblat dan peperangan belum lagi tercetus. Cara sembahyang yang disunatkan dalam keadaan tersebut ialah seperti berikut:
      a) Tentera yang bersembahyang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pertama berdiri ke arah musuh kerana mengawal dan menjaga orang-orang Islam dan kumpulan kedua pergi menunaikan sembahyang secara berjama‘ah bersama-sama imam.
      b) Imam bersembahyang bersama dengan kumpulan kedua hingga selesai satu raka‘at. Apabila imam berdiri pada raka‘at kedua, para ma’mum hendaklah berniat mufaraqah (bercerai daripada imam) dan mereka menyempurnakan raka‘at kedua secara sendiri. Kemudian mereka pergi ke tempat kumpulan pertama yang sedang berjaga.
      c) Kumpulan pertama yang berjaga datang pula mengikut imam dan imam semestinya berdiri lama pada raka‘at kedua sekadar kumpulan pertama sempat berdiri bersamanya. Imam bersembahyang dengan mereka pada raka‘at kedua yang merupakan raka‘at pertama jika dinisbahkan kepada ma’mum. Apabila imam duduk untuk tasyahhud, mereka bangun menyempurnakan raka‘at kedua sehingga mereka duduk dalam keadaan imam masih membaca tasyahhud. Kemudian imam memberi salam bersama-sama mereka.

    Ketika Peperangan Tercetus, Saf-Saf Bertaburan Dan Suasana Membimbangkan.

    Apabila berlaku keadaan tersebut, maka tidak ada cara tertentu untuk ditunaikan sembahyang. Bahkan setiap orang menunaikan sembahyang mengikut keadaan yang mengizinkan mereka mendirikannya sama ada dalam keadaan berdiri, menunggang, berjalan kaki atau berhenti, sama ada menghadap qiblat atau tidak. Ruku‘ dan sujud dilakukan dengan isyarat atau dengan menggerakkan kepalanya sebagai isyarat kepada ruku‘ dan sujud dengan menjadikan sujud lebih rendah daripada ruku‘.

    Solat Nafilah

    Nafilah bermaksud tambahan dan dalam konteks sembahyang ialah sembahyang tambahan daripada apa yang difardhukan oleh Allah subhanahu wata‘ala.
    Sembahyang sunat terbahagi kepada dua bentuk iaitu:
    1. Sembahyang yang tidak sunat dilakukan secara berjama‘ah.
    2. Sembahyang yang sunat dilakukan secara berjama‘ah.

    Sembahyang Yang Tidak Disunatkan Berjama‘ah

    Sembahyang yang tidak disunatkan secara berjama‘ah juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu sembahyang sunat yang mengiringi fardhu dan yang tidak mengiringi fardhu.
    1. Sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi dua:
      a) Sembahyang yang merupakan sunnah mu’akkadah, yang terdiri daripada:
      i. Dua raka‘at sebelum sembahyang Subuh.
      ii. Dua raka‘at sebelum dan selepas sembahyang Zuhur.
      iii. Dua raka‘at selepas sembahyang Maghrib.
      iv. Dua raka‘at selepas sembahyang ‘Isya’.
      b) Sembahyang yang bukan sunnah mu’akkadah pula terdiri daripada:
      i. Dua raka‘at sebelum sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at yang mu’akkadah.
      ii. Dua raka‘at selepas sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at yang mu’akkadah.
      iii. Empat raka‘at sebelum sembahyang ‘Asar.
      iv. Dua raka‘at yang ringan sebelum sembahyang Maghrib. Maksud “ringan” ialah melakukan rukun-rukun sembahyang, sunat-sunat dan adab-adabnya seminimum yang mungkin.
      v. Dua raka‘at yang ringan sebelum sembahyang ‘Isya’.
    2. Sembahyang sunat yang tidak mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

      a) Sembahyang sunat yang tiada nama dan waktu tertentu yang lebih dikenali sebagai sembahyang sunat mutlaq, dilakukan pada mana-mana waktu kecuali pada waktu tertentu yang dilarang melakukannya. Ia dilakukan dengan diberi salam pada setiap dua raka‘at.

      b) Sembahyang sunat yang ada nama dan waktu tertentu, antaranya:
      i. Sembahyang sunat tahiyyatul masjid, iaitu sembahyang dua raka‘at sebelum duduk setiap kali masuk masjid. Tahiyyatul masjid terhasil dengan sembahyang fardhu atau dengan mana-mana sembahyang sunat yang lain kerana maksud daripadanya ialah seseorang itu tidak segera duduk dalam masjid tanpa menunaikan sembahyang.
      ii. Sembahyang sunat witir. Ia merupakan sunnah mu’akkadah. Dinamakan witir atau ganjil kerana ia disudahi dengan satu raka‘at berlainan dengan sembahyang yang lain. Waktu sembahyang witir ialah di antara sembahyang ‘Isya’ dan terbit fajar. Yang paling afdhal ialah dilewatkan sehingga ke akhir sembahyang malam. Sekurang-kurang witir ialah satu raka‘at, tetapi makruh jika hanya melakukan dengan bilangan tersebut dan sekurang-kurang bilangan raka‘at yang sempurna ialah tiga raka‘at. Didirikan dua raka‘at kemudian satu raka‘at. Jumlah yang paling sempurna ialah sebelas raka‘at.
      iii. Qiyamullail. Ia dinamakan juga dengan tahajjud jika dilakukan selepas tidur. Qiyamullail merupakan sunat yang tidak mempunyai bilangan raka‘at yang tertentu. Ia ditunaikan selepas bangun tidur dan sebelum azan Subuh.
      iv. Sembahyang sunat dhuha. Sekurang-kurang sembahyang sunat dhuha ialah dua raka‘at dan yang paling banyak dan sempurna ialah lapan raka‘at. Ia lebih afdhal jika dipisahkan pada setiap dua raka‘at dengan salam. Waktunya bermula dari naik matahari sehingga gelincir dan yang afdhalnya ialah setelah berlalu satu perempat siang hari.
      v. Sembahyang sunat istikharah, iaitu sembahyang dua raka‘at yang didirikan bukan pada waktu yang dimakruhkan. Ia disunatkan kepada sesiapa yang ingin kepada sesuatu atau ingin melakukan sesuatu perkara yang diharuskan tetapi dia tidak mengetahui kebaikan yang ada padanya. Disunatkan membaca doa ma’thur yang datang daripada Rasulullah selepas selesai sembahyang. Jika selepas itu Allah membuka hatinya untuk melakukan perkara tersebut, maka dia boleh melakukannya.

    Sembahyang Yang Disunatkan Secara Berjemaah


    Sembahyang Dua Hari Raya

    Sembahyang hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya korban merupakan sunnah mu’akkadah. Ia dituntut supaya dilakukan secara berjama‘ah tetapi tetap sah jika dilakukan secara bersendirian. Waktunya bermula dari terbit matahari hingga gelincir matahari. Waktu yang lebih afdhal ialah ketika matahari naik sekadar panjang lembing (tinggi segalah).
    Sembahyang hari raya mempunyai dua raka`at. Ia dimulakan dengan takbiratul ihram kemudian membaca doa iftitah, kemudian bertakbir sebanyak tujuh kali seperti mana takbiratul ihram. Ketujuh-tujuh takbir tadi dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana dan disunatkan membaca tasbih. Kemudian membaca al-isti`azah dan membaca al-fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa ayat. Takbir untuk raka‘at yang kedua hanyalah sebanyak lima kali. Selain daripada itu disunatkan berkhutbah dengan dua khutbah setelah selesai sembahyang sama seperti khutbah jumaat, cuma ia dilakukan selepas sembahyang.

    Sembahyang Tarawih

    Sembahyang tarawih disyari‘atkan khusus pada bulan Ramadhan dan sunat didirikan secara berjama‘ah serta sah jika didirikan secara individu. Waktunya di antara sembahyang ‘Isya’ dan sembahyang Subuh dan sebelum sembahyang witir. Ia boleh didirikan sebanyak lapan raka‘at dan boleh sebanyak dua puluh raka‘at dengan dilakukan setiap dua raka‘at satu salam.

    Sembahyang Gerhana Matahari dan Bulan

    Al-Kusuf (gerhana matahari) pada bahasa digunakan ketika cahaya matahari atau bulan terlindung sama ada sebahagiannya atau kesemuanya. Kebiasaannya, al-kusuf digunakan bagi gerhana bulan. Hukumnya pula ialah sunnah mu’akkadah. Jika sembahyang gerhana itu adalah untuk matahari, maka bacaan hendaklah diperlahankan, manakala jika gerhana bulan, bacaan hendaklah dinyaring dan dikuatkan.
    Sembahyang gerhana mempunyai dua cara:
    1. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri, dua kali membaca (Al-Fatihah dan ayat) serta dua kali ruku‘ tanpa memanjangkannya (berdiri, membaca dan ruku‘, kemudian berdiri membaca dan ruku‘). Dan sah sembahyang gerhana jika didirikan dua raka‘at dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku‘ seperti sembahyang Juma‘at.
    2. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri. Pada setiap kali berdiri dibaca bacaan yang panjang. Dibaca selepas Al-Fatihah, Surah Al- Baqarah atau surah-surah lain yang sama panjangnya pada berdiri kali pertama di raka‘at pertama. Untuk berdiri kali kedua pada raka‘at pertama, dibaca ayat yang menyamai 200 ayat. Manakala bacaan ketika berdiri kali pertama pada raka‘at kedua ialah sekadar 150 ayat. Dan bacaan ketika berdiri kali kedua pada raka‘at kedua ialah bacaan yang menyamai 100 ayat Surah Al-Baqarah.
    3. Kemudian apabila ruku‘, maka dipanjangkannya sehingga menyamai lebih kurang dengan 100 ayat, ruku‘ kedua dipanjangkan sekadar 80 ayat, ruku‘ ketiga sekadar 70 ayat dan ruku‘ keempat sekadar 50 ayat. Cara yang kedua ini adalah yang lebih sempurna. Apabila sembahyang telah selesai, imam bangun berkhutbah dengan dua khutbah, sama seperti khutbah Juma‘at, cuma imam hendaklah mendorong orang ramai supaya bertaubat, melakukan kebaikan serta memberi ingatan agar tidak lalai.

    Sembahyang Istisqa’ (Minta hujan)

    Makna sembahyang istisqa’ ialah sembahyang yang disyari‘atkan ketika hujan tidak turun dan mata air kekeringan. Ia disunatkan ketika berlaku sebabnya. Tuntutan melakukannya akan luput apabila sebab tersebut hilang seperti turunnya hujan atau mata air mula mengalir.

    Terdapat tiga cara untuk meminta hujan :

    1. Cara paling minima, iaitu berdoa kepada Allah pada bila-bila waktu yang disukai.
    2. Cara pertengahannya ialah dengan berdoa selepas bangun daripada ruku‘ pada raka‘at terakhir sembahyang yang diwajibkan, atau selepas selesai sembahyang.
    3. Cara yang paling sempurna ialah dengan melakukan perkara-perkara berikut:
    a) Pada peringkat permulaan, imam (ketua pemerintah) atau timbalannya hendaklah menyuruh orang ramai supaya bertaubat, bersedekah kepada fakir, meninggalkan segala bentuk kezaliman, dan berpuasa selama empat hari berturut-turut.
    b) Imam yang sebaik-baiknya ketua pemerintah keluar bersama-sama orang ramai pada hari ke empat dalam keadaan berpuasa, memakai pakaian yang lama (lusuh), dalam keadaan khusyu‘ dan hina menuju ke padang yang luas melalui satu jalan tertentu dan pulangnya melalui jalan yang lain pula. Kemudian ketua atau timbalannya melakukan sembahyang bersama-sama orang ramai sebanyak dua raka‘at seperti sembahyang hari raya.
    c) Apabila selesai sembahyang, imam (ketua pemerintah) hendaklah berkhutbah dengan dua khutbah seperti khutbah hari raya, kecuali kedua-duanya hendaklah dimulai dengan istighfar sembilan kali pada khutbah pertama dan tujuh kali pada khutbah kedua sebagai ganti kepada takbir. Apabila khutbah kedua bermula dan berlalu satu pertiga daripadanya, khatib hendaklah berpaling ke arah qiblat dengan membelakangkan orang ramai dengan mengubah kedudukan kain jubah atau selendang dengan dijadikan bahagian atas ke bawah, bahagian bawah ke atas, bahagian kanan ke kiri dan bahagian kiri ke kanan bagi menzahirkan perasaan kehinaan ke hadapan Allah subhanahu wata‘ala. Orang ramai juga disunatkan melakukan apa yang dilakukan oleh khatib.

      Sembahyang Jenazah

        Syarat-syarat sah sembahyang jenazah ialah seperti berikut:

      1. Sembahyang jenazah sama halnya dengan sembahyang yang lain, iaitu harus menutup ‘aurat, suci dari hadath besar dan kecil, suci badan, pakaian dan tempat serta menghadap ke arah qiblat.
      2. Mayat sudah dimandikan dan dikafankan.
      3. Mayat diletak sebelah qiblat mereka yang menyembahyangkannya kecuali jika sembahyang dilakukan di atas kubur (sembahyang ghaib).

      Cara melakukan sembahyang jenazah ialah dengan keadaan berdiri sahaja dengan tidak ruku‘, sujud, tasyahhud dan duduk. Sebelum dilakukannya juga tidak disertai dengan azan dan iqamah.

        Rukun-rukun dan cara menunaikannya adalah seperti berikut:

      1. Bertakbir dengan takbiratul ihram dalam keadaan berniat sembahyang ke atas mayat.
      2. Selepas bertakbir, dibaca Surah Al-Fatihah.
      3. Bertakbir untuk kali kedua. Seterusnya membaca salawat dengan mana-mana lafaz salawat dan yang paling afdhal ialah salawat Ibrahimiyyah.
      4. Kemudian bertakbir untuk kali ketiga dan berdoa untuk si mati selepas takbir tersebut.
      5. Kemudian bertakbir untuk kali keempat dan berdoa selepasnya.
      6. Kemudian memberi salam ke sebelah kanan dan kiri.

    Sunday, July 15, 2012

    Syariat-Fekah Iman Mazhab Syafie



    Syariat-Fekah Iman Syafei..
    Iman Nawawi, Sheikh Ramli, Ibnu Hajar




    KENALI IMAM SYAFIE RHM ( 1 )

    Kitab Al-Umm yang banyak meriwayatkan pendapat-pendapat Imam As-Syafie Rhm

    ASAL USUL IMAM SYAFIE RHM
    1. Nama
    Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin Al-A'bbas bin Uthman bin Syafi' bin As-Saaib bin U'baid bin Abdu Yazid bin Hashim Al-Muthollib bin Abdu Manaf bin Qusay.
    Maka Imam As-Syafie bertemu nasab dengan Rasulullah Saw pada Abdu Manaf.
    2. Kuniah
    Abu Abdullah[1]
    3. Gelaran
    Imam As-Sunnah dan Naasirul As-Sunnah
    4. Kelahiran
    Berkata Imam Syafie Rhm di dalam satu riwayat : " Aku telah dilahirkan di Ghaza pada tahun 150 ( Yakni Hijrah ), dan aku telah di bawa ke Mekah ketika umur aku 2 tahun.[2]
    Dan menurut ahli sejarah juga secara terperincinya Imam As-Syafie rhm lahir pada hari Jumaat, di akhir bulan Rejab pada tahun 150 H.[3]
    Dalam satu riwayat lain : " Ayah aku berasal daripada Tabalah[4], dan ayah aku sebelum ini berada di Madinah, ketika di Madinah timbul suatu perkara yang kurang menyenangi beliau, maka beliau keluar berpindah ke Asqalan dan muqim di situ.Aku telah dilahirkan di sini ( Asqalan ), dan ayah aku telah meninggal dunia.Bapa saudara aku telah datang dari Makkah dan membawa aku balik ke sana ketika umur aku 2 tahun.[5]
    Para ulamak berbincang berdasarkan kedua-dua riwayat ini, adakah Imam As-Sayfie lahir di Gaza atau di Asqalan?
    Sebenarnya tidak ada pertembungan dari kedua-dua riwayat ini, kerana pada zaman dahulu Asqalan adalah diibaratkan bandar dan Gaza adalah perkampungan.
    Maka kesimpulannya, adalah Imam Syafie rhm lahir di perkampungan Gaza di Asqalan.
    Kalau dilihat tahun kelahiran Imam Syafie Rhm, ia adalah tahun kematian Imam Abu Hanifah Rhm.Oleh sebab itu ada beberapa riwayatkan mengatakan bahawa : Imam Abu Hanifah meninggal pada waktu malam tahun 150 H dan pada malam yang sama lahirnya Imam As-Syafie.Matinya seorang Imam, dan lahirnya seorang Imam.[6]
    KEPERIBADIAN IMAM AS-SYAFIE RHM
    Berkata Ibnu Solah : " As-Syafie adalah seorang yang tinggi, mempunyai pipi yang lurus dan nipis ( pipi tidak gemuk ), mempunyai wajah yang kurus, mempunyai leher yang panjang, mempunyai tulang peha, betis dan bahu yang panjang, kulitnya berwarna agak coklat ( sawo matang ), sentiasa menginaikan janggutnya dengan warna merah, mempunyai suara yang sedap, akal yang besar ( bijak ), wajah yang cantik ( menarik ), petah berbicara, beradab dalam bercakap, mempunyai hujung hidung yang panjang ( mancung ), mempunyai bulu dibawah bibir yang jelas kelihatan ( tebal ), bulu keningnya tidak bertangkup dan mempunyai gigi yang jarang.[7]
    Berkata Al-Muzani : Aku tidak pernah melihat orang lain yang mempunyai wajah secantik As-Syafie, apabila dia mengenggam janggutnya, maka ia tidak lebih dari genggamannya.[8]
    Berkata Ar-Robi Al-Muradi : " As-Syafie membahagikan malam pada 3 bahagian : 1/3 untuk kitab, 1/3 untuk solat malam dan 1/3 untuk tidur."[9]
    Imam AS-Syafie rhm juga diantara amalan sunat kegemarannya adalah memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah Saw, ini dapat dilihat dengan kata-katanya : " Aku amat menyukai jika kamu semua memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah Saw."[10]
    Diriwayatkan juga Imam As-Syafie rhm apabila ada yang memohon sesuatu atau pertolongan daripadanya, maka mukanya merah kerana malu, maka beliau akan berusaha bersungguh untuk melunaskan permintaan orang tersebut.Dan beliau merupakan seorang yang amat pemurah untuk menghadiahkan dinar, dirham atau makanan.[11]
    Diriwayatkan bahawa Imam As-Syafei rhm seoarang yang sederhana dalam pemakaian, beliau memakai pakaian daripada kapas Baghdad, diriwayatkan juga bahawa Imam Syafie rhm kadangkala memakai Qolnawasah ( sejenis penutup kepala) dan sentiasa memakai serban dan khuf.

    • Untuk post yang akan datang kita akan sama-sama melihat dan membaca rehlah ilmu dan keilmuan Imam As-Syafie Rhm.

    *Disediakan oleh Ibnu Shafii

    [1] Tawali At-Ta'sis li Maali Muhammad ibn Idris oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani m/s 39
    [2] Manaqib As-Syafie oleh Al-Baohaqi m/s 73
    [3] Al-Imam As-Syafie Faqihan Mujtahidan m/s 49di bawah kertas kerja yang bertajuk Hayat Al-Imam As-Syafie Abbas Yunus.Buku ini merupakan kumpulan kertas kerja yang dibentang di UIA pada tahun 1990 di dalam satu nadwah
    [4] Tabalah adalah sebuah bandar masyhur pada ketika itu yang berada di dalam perjalan ke Yaman, boleh rujuk Kitab Al-Imam As-Syafie Faqih As-Sunnah Al-Akbar m/s 25.
    [5] Kedua-dua riwayat ini dari kitab Tawali At-Ta'sis li Maali Muhammad ibn Idri oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani m/s 50-51
    [6] As-Syafie hayatuhu wa A'rihi Wa Arauhu wa Fiqhu oleh Muhammad Abu Zahrah m/s 15.
    [7] Tawali At-Ta'sis li Maali Muhammad ibn Idri oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani m/s 76
    [8] Syazarat Az-Zahb jilid 2 m/s 9.
    [9] Tawali At-Ta'sis li Maali Muhammad ibn Idri oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani m/s 68.
    [10] Rujukann yang sama seperti di atas.
    [11] Rujukan sama.

    SIAPAKAH ULAMA PEWARIS NABI - SHAIKH -MURSYID YANG SEBENAR?

    SIAPAKAH PEWARIS NABI YANG SEBENAR? 
    Susunan : Tok Kelana 

    MUQADDIMAH 
    Segala puji tertentu bagi Allah. Salawat salam kepada Sahibul Asrar Sayyidina Muhammad صلى الله عليه وسلم, Ahlul Bayyit yang suci, para Sahabat yang mulia serta sekalian Aulia' Allah sehingga akhir zaman. 

    Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah Nabi dan Rasul terakhir bagi Ummat ini. Siapakah yang akan memimpin Ummat ini setelah ketiadaan Baginda.? Siapakah yang akan mendidik Ummat ini dengan ilmu syari'at dan ilmu kerohanian?. Siapakah yang akan membawa manusia ini mengenal diri serta penciptanya? 


    Kerana manusia selamanya memerlukan pemimpin Rabbaniyyah yang menunjukki kepada hakikat kebenaran dan keTuhanan bagi membebaskan dirinya daripada kekufuran dan kesyirikan. Kitab serta aqal sahaja tanpa pemandu yang menunjuk arah akan menyebabkan manusia menyimpang dari kebenaran yang hakiki. Ini kerana aqal manusia yang terbatas kemampuannya tidak dapat menyelami segala rahsia KeTuhanan yang tersembunyi. Nafsu jahat yang bersemadi dalam batin pula akan sentiasa mengajak kepada membuat fasad dan penyelewengan. 

    Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah mendidik serta mencurahkan Ilmu zahir dan Ilmu Kerohanian kepada para Sahabat Baginda yang mulia Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu 'Anh, Sayyidina Umar Radhiallahu 'Anh, Sayyidina Uthman Radhiallahu 'Anh dan Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah. Mereka ini kemudiannya mencurahkan pula Ilmu suci ini kepada Sayyidina Hassan, Sayyidina Husain, Sayyidina Salman Al-Farisi serta sahabat lain Radhiallahu 'Anhum Ajmain. 

    Demikian Sayyidina Hassan, Sayyidina Husain serta sahabat lain Radhiallahu 'Anhum Ajmaiin telah mencurahkan ilmu tersebut kepada generasi Tabiin berikutnya. Generasi Tabiin seterusnya mendidik Tabi-it-Tabiin. Demkianlah seterusnya ilmu ini dipindahkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya secara mushahfahah dan tidak putus sehingga ke zaman kita sekarang ini. 

    Ilmu Nabi ini akan terus dipindahkan dengan cara yang sama sehingga akhir zaman. 

    Mereka yang mewarisi Ilmu Nabi zahir batin ini di kenali sebagai khalifah2/ Pewaris Rasulullah (pengganti Nabi) . 

    Firman Allah: 

    وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنْكُمْ وَعَمِلُواْ الصَّـلِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى الاٌّرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِى ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْناً يَعْبُدُونَنِى لاَ يُشْرِكُونَ بِى شَيْئاً وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذلِكَ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْفَـسِقُونَ 

    Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. [An-Noor (24) : 55] 

    Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : 

    “Dahulu kaum Bani Isra’il dipimpin oleh para Nabi. Setiap seorang nabi meninggal dunia, maka diganti seorang nabi lainnya. Maka sesungguhnya tidak ada nabi yang menggantikan setelah aku meninggal dunia, Namun yang menggantikanku adalah khalifah-khalifah. Maka mereka banyak mempunyai pengikut-pengikut ”, Sahabat bertanya, “Wahai Rasul apa yang engkau perintahkan pada kami?” Rasul menjawab, “Laksanakan baiat seperti baiat pertama kali di hadapan mereka dan tunaikan hak-hak mereka, Kalian mintalah kepada Allah yang menjadi bagian kalian, karena Allah Ta’ala menanyakan tentang apa yang mereka pimpin.” (Bukhari Muslim). 


    Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : 

    "Tidak akan masuk neraka seorang muslim yang telah melihat dia akan daku. Dan tiada pula masuk neraka, mereka yang melihat ia akan orang yang melihat ia akan daku sehingga 70 lapisan wasitah sekalipun. Maka sesungguhnya mereka itulah khalifah- khalifahku (pewarisku) pada menyampaikan syariatku dan memimpin Ummatku pada jalan ketuhanan dan ubudiyyah yang sebenar. Dengan syarat mereka tetap pada syari'atku." 

    (Riwayat Khatib daripada Abdur-Rahman bin Uqbah) 


    Dan sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : 

    "Hairan oleh Allah daripada satu-satu kaum yang masuk syurga bertali-tali (ya'ni bergantung satu kepada satu beberapa banyak Shaikh kepada Shaikh yang lain sehingga bertemu pada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam)
    (Riwayat Bukhari) 

    Segala keterangan di atas menjadi bukti nyata bahawa Nabi tidak meninggalkan kita tanpa panduan. Bahkan Nabi telah menurunkan segala Ilmu Baginda zahir batin kepada generasi berikutnya dan juga memberi jaminan akan adanya pengganti Baginda yang akan meneruskan Risalah Baginda! Pada hakikatnya ini adalah rencana Ilahi yang tersusun indah didalam PemerintahanNya! 

    Ini bermakna pada stiap zaman dan setiap wilayah pasti ada "Pewaris Nabi" ini untuk memimpin Ummat Islam kepada jalan Ketuhanan dan Syari'at Islam. Allah Ta'ala akan sentiasa zahirkan Pewaris Nabi ini dan menghimpunkan beberapa hamba2 pilihan untuk menjadi pengikut mereka yang setia. Mereka inilah sahabat dan penolong kepada Pewaris Nabi ini. 

    Tetapi sayang sekali kebanyakan Ummat Islam tidak lagi mengenali "Pewaris Nabi" yang haq ini. Setengah mereka tidak peduli samada mereka ada pemimpin atau tidak. Yang lain2 mengambil Ulama2 jahat dan orang2 jahil sebagai pemimpin mereka. Ini yang di isyaratkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم : 

    Dari Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما bersabda Rasululllah صلى الله عليه وسلم : 

    "Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan (menghilangkannya) dari dada hamba2Nya sekaligus. Tetapi Allah menghilangkan ilmu tersebut dengan mematikan Alim-Ulama sehingga tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin2 dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka mereka sesat dan menyesatkan. (Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah) 



    WARISAN CAHAYA SILSILAH (PEWARIS NABI) ADALAH PILIHAN ALLAH

    Apa yang kami maksudkan dengan Pewaris Nabi atau Cahaya Silisilah Nabi adalah orang2 Mu'min pilihan Allah yang menerima pemindahan Ilmu Nabi zahir dan batin daripada sahabat ke sahabat berikutnya secara 'mushafahah'- dengan cara berhadapan dengan Guru! Pemindahan Ilmu keruhanian adalah pancaran Nur Muhammad (cahaya ke Nabian) kepada sekalian sahabat Baginda yang kemudiannya di alirkan kepada generasi sahabat dan Shaikh2 berikutnya.

    Oleh yang demikian Pewaris Nabi yang sebenar bukanlah lantikan pemerintah2 negara atau lantikan melalui undian atau lantikan kerana keturunan atau lebih buruk lagi seseorang mengaku dia lantikan Allah. Semua ini tidak dapat diterima kerana Pewaris Nabi bukan barang mainan nafsu atau politik dunia. Walaupun dia seorang Ulama Al-Azhar yang terkenal sebagai Ulama seluruh dunia, namun jika dia tidak menerima pemindahan Ilmu dan cahaya KeNabian dengan cara mushafahah yang disebutkan seperti di atas, maka dia belum boleh dikatakan sebagai Ulama' Pewaris Nabi yang haq.

    Orang2 Alim seperti ini hanya boleh digelar sebagai orang Alim Fiqh. (Ihya Ulumuddin)

    Pewaris Nabi yang haq adalah pilihan Allah yang tidak boleh di engkari oleh sesiapa pun. Lantikan ini tidak boleh di tolak dan tidak boleh minta2! Ianya adalah pancaran Nur Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Ia semata2 anugerah dan Amanah Allah Ta'ala! Di dalam disiplin Ilmu Ma'rifat dan pimpinan keruhanian, pilihan Allah ini akan disampaikan oleh Ruhaniyah Rasulullah kepada seseorang Pewaris Nabi yang sedang memimpin kaumnya. Apa yang kami maksudkan adalah : Pewaris Nabi yang sedang memimpin akan melantik seseorang yang telah mendapat limpahan Ruhani Rasulullah untuk menjadi Pewaris Nabi seterusnya jika dia layak. Ianya tidak boleh di reka2 oleh Guru itu melainkan melalui petunjuk Raslullah صلى الله عليه وسلم.

    Mereka inilah Ulama Pewaris Nabi yang sebenar!

    Berkata Ghawthul A'zham Shaikh Muhyddin رضي الله عه,

    "Orang yang berpengetahuan, yang bijaksana, adalah hamba-hamba Allah yang tulen yang Dia pilih untuk menerima perutusan Ilahi. Dia lebihkan mereka daripada yang lain semata-mata dengan kebaikan Rahmat-Nya yang Dia curahkan kepada mereka. Mereka adalah Pewaris Nabi-Nabi, pembantu-pembantu mereka, yang dipilih oleh Rasul-Rasul-Nya untuk menjadi khalifah kepada sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan nabi-nabi dengan perasaan yang amat seni dan kebijaksanaan yang sangat tinggi." (Sirrul Asrar)

    Kata Imam Ghazali رضي الله عه :

    Sebelum Nabi wafat, Baginda telah menentukan sahabat2 yang akan menggantikan Baginda untuk memimpin dan mendidik Ummat pada jalan ketuhanan. Setelah itu para sahabat mewariskan pimpinan ini kepada para Tabi’in dan seterusnya sehingga hari kemudiannya. Mereka inilah Pewaris Nabi. (Ihya Ulumuddin)

    Sila perhatikan baik-baik perkataan Shaikhuna, lantikan Guru yang mewarsi Nabi untuk memimpin Ummat sebagai Pewaris Nabi bukanlah dari Guru itu sendiri, melainkan ianya petunjuk Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang disampaikan kepada Guru yang memimpinnya Dengan demikian orang2 yang melantik diri sendiri sebagai Shaikh Pewaris Nabi kononnya dia dilantik oleh Allah adalah pengakuan batil dan sesat yang tidak boleh diterima!





    PANGGILAN BERBEZA 

    Setelah wafat Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, pengganti2 Nabi untuk mendidik Ummat tidak lagi dipanggil Khalifah, sebaliknya mereka di kenali sebagai Imam, Shaikh, Mursyid, Ulama Tasawwuf, Ahli Ma'rifat dan panggilan2 yang lain sesuai dengan kemuliaan sebagai pewaris Nabi yang haq ! Ini kerana istilah dan pangkat khalifah telah menjadi rebutan para penguasa2 /pemerintah yang rakus dan zalim.

    Sementara mereka2 yang sebenarnya memegang Amanah Nabi ini mengasingkan diri dari perebutan dan kekacauan nafsu manusia. Mereka membentuk satu sistem pendidikan yang tersendiri berdasarkan ajaran Nabi yang suci tanpa di cemari fahaman2 sesat dan pembuat bid'ah Mu'tazilah, Jabariah dll. Demikian juga mereka membuat pengasingan dan daripada kelompok2 yang menyamar sebagai Ahli Sufi dan Ahli Ma'rifat padahal mereka termasuk golongan penipu dan tertipu!

    Ghawthul A’zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu ‘Anh menyebut didalam salah satu ungkapan yang menarik :

    Dalam semua itu mereka (para Pewaris Nabi) mengikut teladan daripada pengikut-pengikut صلى الله عليه وسلم yang terkenal sebagai ‘golongan tasawwuf’ yang telah meninggalkan semua urusan keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam dan berada hampir dengan Baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi WaSallam .

    Kata Imam Jailani lagi,

    "Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi صلى الله عليه وسلم dengan Tuhannya (Ma'rifah, Qurbah dan Mahabbah). Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah Salla-Allahu 'Alaihi Wasallam."
    (Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar)


    Dengan penjelasan di atas kami ingin menegaskan secara ringkas bahawa apa yang dikehendaki dengan panggilan Shaikh, Murshid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat atau Aulia Allah adalah merujuk kepada orang yang sama iaitu "PEWARIS NABI." Tugas mereka adalah mendidik dan memimpin manusia kepada Allah Ta'ala. 





    SIFAT-SIFAT SHAIKH / MURSHID /AHLI SUFI YANG MENJADI PEWARIS NABI:

    Kita sudah bicarakan sebelum ini bahawa seorang Shaikh, Murshid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat dll adalah Pewaris Nabi yang sebenar untuk mendidik jiwa manusia serta membimbing mereka kepada Allah Ta'ala. Persoalan sekarang Bagaimana kita boleh mengenal seorang Murshid /Ulama Pewaris Nabi yang sebenar? Apakah tanda2 yang boleh dilihat untuk menentukan bahwa seorang Guru atau Ulama itu Pewaris Nabi yang sebenar dan bukannya penyamar atau penipu.???

    Kami menyebut begini kerana didalam sejarah perkembangan Islam, setelah nama Mursyid dan Shaikh menjadi terkenal dikalangan Ummat Islam sebagai Pewaris Nabi, maka banyaklah manusia2 jahil mula mengaku sebagai Mursyid atau Shaikh. Sebahagain dari mereka adalah berniat untuk mengabui dan menipu Ummat Islam untuk tujuan duniawi dan nafsu serakah mereka!

    Golongan penipu yang mengaku Sufi Allah, Ahli Ma'rifat, Mursyid atau Shaikh telah wujud pada masa dahulu dan akan wujud sepanjang zaman! Oleh kerana itulah para Shaikh2 yang siddiq seperti Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani , Shaikh Junaid Al-Baghdadi , Imam Ghazali Radhiallahu Anhum Ajmaiin, dan lain-lainnya memberikan pesanan dan AMARAN supaya sangat berhati2 didalam memilih Guru Mursyid. Seseorang perlu memerhatikan beberapa sifat penting yang menjadi tanda Pewaris Nabi yang sebenar ini, supaya tidak menyesal di akhirat nanti!

    Setelah meneliti beberapa Kitab Ulama Tasawwuf seperti Imam Jailani, Imam Ghazali, Shaikh Hujweri, Shaikh Ibnu Arabi, Shaikh Yahya Al-Khalidi dan Ulama Mu'tabarah yang lain, kami dapat menyimpulkan bahawa seorang Guru Mursyid, Shaikh yang menjadi Pewaris Nabi wajib memiliki sekurang2nya 10 sifat berikut :

    1. Beliau termasuk didalam 'rantaian' pewaris Nabi iaitu yang dipanggil silsilah keruhanian Nabi.

    Ini bermakna beliau telah menerima Ijazah kebesaran Shaikh daripada Shaikh nya yang telah menerima daripada Shaikh nya dan seterusnya keatas dan ke atas sehingga bertemu Rahmat-Al-Alameen, Sayyidina Wa Maulana Muhammad صلى الله عليه وسلم.

    Ini merupakan salah satu tanda kebenaran seorang Shaikh Pewaris Nabi. Sebagaimana kami pernah sebut dahulu, 'cahaya silasilah' bukan rekaan dan buat-buatan manusia. Ianya adalah pancaran "cahaya Nur Muhammad" yang memancar kedalam hati para Pewaris Nabi. Dengan pancaran Nur inilah mereka memimpin manusia lain kepada Allah Ta'ala. Seseorang Guru yang tidak mempunyai silsilah keruhanian ini tidak akan mampu memimpin manusia kepada Hadrat ketuhanan kerana mereka sendiri tak pernah di pimpin dan tidak pernah sampai ke Hadrat ketuhanan, bagaimana mungkin mereka boleh memimpin orang lain....!

    Seluruh Pewaris Nabi yang siddiq, yang terkenal dan di akui seluruh Ahlus Sunnah Wal Jamaah, adalah mereka itu dari satu silsilah keruhanian tertentu yang akhirnya sampai kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Ianya bukan rekaan dan buatan Pewaris2 ini. Dengan demikian Silsilah yang benar ini akan tetap terpelihara sehingga akhir zaman. Dan orang2 yang menentangnya akan binasa. Wal Iyazubillah!

    Sementara itu seseorang Guru yang mengaku Mursyid, tetapi tidak dapat membuktikan dengan menunjukkan silsilah keruhaniannya, maka pengakuan ini tidak dapat diterima. Dan kemungkinan orang ini adalah pendusta yang berpura2 menjadi Guru Mursyid.

    Berkata Ghawthul A'zaham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anhu:

    "Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan. Dia mesti sangat mahir didalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya didalam haqiqat. Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu2 yang datang kepadanya dengan penuh kasihsayang. Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram. Dia memimpin si salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Shaikhnya, sempurna didalam kemurahan hatinya."(Qala'id Al-Jawahir)

    Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu Anh :

    "Orang yang silsilahnya /sanadnya tidak bersambung ke hadrat Nabi صلى الله عليه وسلم itu terputus dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah صلى الله عليه وسلم, (bukan Murshid) serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah." ( Khazinah Al-Asrar )

    Berkata Shaikh Syeikh Ahmad al-Kamashkhanawi Radhiallahu Anh :

    "Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang silsilahnya tidak bersambung kepada Guru2 Toriqah (sehingga Rasulullah صلى الله عليه وسلم) dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan2 lain didalam Toriqah."
    (Jami' Usul Fil Aulia)


    Demikian lah jelasnya setiap Guru Murshid wajib mempunyai silsilahnya sampai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan beliau sendiri pernah dipimpin pada Toriqah Sufiyyah di bawah pimpinan Shaikhnya sehinggawusul kepada Allah.


    2 : Alim didalam Syari'at - Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf serta mahir didalam Ilmu Al-Qur'an dan Hadis Nabi
    .
    Seorang Shaikh yang benar dan sempurna adalah seorang yang sangat mahir didalam hukum hakam agama dan beliau dapat membezakan diantara Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf. Demikianlah apabila kita melihat sejarah hidup Ulama Pewaris Nabi ini, semuanya mahir didalam selok belok agama dan mampu memberikan fatwa didalam masalah2 yang dihadapi oleh kaumnya.

    Berkata Sayyid-At-Tariqah As-Sufiyyah Shaikh Junaid Al-Baghdadi Radhiallahu 'Anh :

    "Ilmu kami, ahli Tasawwuf diikat dengan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi. Jika seseorang tidak menghafal Hadis Nabi dan tidak menulisnya didalam kitab2 dan tidak menghafal Al-Qur'an, dan tidak mahir didalam hukum2 syaria't dan tidak pula 'alim didalam ahwal perjalanan kerohanian, maka orang itu tidak layak diikuti sebagai pemimpin Ma'rifat ketuhanan. Maka jangan kamu mengambil ilmu daripadanya"


    3: Mahir didalam Ilmu Ma'rifat Ketuhanan serta mampu mendidik jiwa manusia kepada ketuhanan.

    Seorang Pewaris Nabi yang sebenar adalah beliau terdidik dengan Ilmu keruhanian di bawah bimbingan Guru/ Shaikhnya sehingga beliau mendapat curahan berbagai Hikmat Ilahiyyah serta kebijaksanaan. Beliau telah sampai kepada Maqam Mushahadah (penyaksian wajah ketuhanan) serta sentiasa didalam bimbingan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

    Sila rujuk kata2 Imam Jailani pada perkara 1.


    4 : Sentiasa berpegang teguh dengan Syari'at Nabi.

    Sifat ini merupakan penjagaan. Seorang Shaikh wajib mematuhi hukum2 yang termaktub didalam Al-Qur'an dan Sunnah Nabi. Beliau sama sekali tidak boleh melanggar hukum Syari'at ; samada pelanggaran tersebut dilakukan oleh dirinya secara terang2an atau mengadakan/anjurkan perkara2 yang bertentangan dengan hukum Islam dalam. (Ini adalah bermaksud kepada hukum2 yang telah disepakati oleh Ulama2 Mu'tabar, bukan masalah khilafiyah)

    Apabila seorang Shaikh melakukan perkara ma'siat terang2an atau menggalakkan muridnya melakukan ma'siat atau merelakan mereka melakukan perkara ma'siat, maka orang seperti ini tidak layak diikuti sebagai Shaikh. Bahkan para Imam kita menggelarkan mereka sebagai penipu dan pengikut Iblis dan Istidraj! Wal Iyazubillah!

    Berkata Shaikh Hujweri Radhiallahu Anh:

    "Seorang Murshid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syariat dengan tegas tanpa berbelah bahagi. Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq. Seorang Murshid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari'at serta mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya. Orang seperti ini bukanlah Murshid (Shaikh) tetapi pengikut Syaitan dan musuh Islam.(Kashful Mahjoob) 

    Dengan demikian WAJIB menjauhkan diri daripada orang yang mengaku Mursyid tetapi melakukan penyelewengan didalam Syari'at. Bahkan HARAM mengikutinya lagi.


    5 : Tabligh dan Menjalankan Amr Ma'ruf nahyi Anil Mungkar.

    Ini merupakan salah satu ciri penting iaitu beliau hendaklah seorang yang sentiasa menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan, melalui nasihat2, teguran2 dan amaran2 kepada murid2nya, masyarakat dan juga terhadap penguasa-penguasa negeri.

    Sepanjang sejarah islam, Para Pewaris Nabi ini telah terkenal dengan Da'wah mereka kepada Ummat islam. Mereka sering memberi amaran2 kepada semua termasuk pemerintah2 yang melakukan pelbagai kezaliman.


    6. Bersifat siddiq (benar) dalam perkataan dan perbuatannya.

    Beliau hendaklah seorang yang sentiasa BENAR didalam perkataan dan perbuatannya. Seorang Shaikh atau Murshid bukanlah seorang pendusta atau penipu kerana penipuan dan pendustaan adalah sifat orang munafiq.


    7. Kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia .

    Hidup beliau penuh didalam kesederhanaan. Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan. Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan. Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Nabi صلى الله عليه وسلم, bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid!

    Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

    Seseorang yang mengaku Murshid tetapi mengumpul2 kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid2 nya, tidak boleh dikatakan Murshid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu! Tiada layak sedikitpun duduk diatas sejadah kemuliaan Murshid!

    Sedikit Catitan : Kemungkinan juga sebahagian Shaikh atau Murshid diberi kekayaan oleh Allah Ta'ala (tetapi bukan hasil dari harta yang ditagih dari murid2nya) namun kekayaan tersebut tidak sedikitpun mengganggu Ubudiyyah dan Khidmatnya kepada Allah!


    8 : Memiliki sifat halim (lemah lembut) kepada manusia didalam pergaulan Serta mencontohi segala akhlaq Nabi.

    Beliau memiliki sifat2 Nabi seperti sifat halim dan sifat2 kemuliaan yang lainnya. Beliau mencontohi Rasul didalam mendidik Ummat kepada ketuhanan. Beliau sangat penayabar dan lemah lembut didalam pergaulan sesama manusia tanpa mengira pangkat atau darjat manusia. Walau bagaimana pun beliau sangat tegas di dalam mendirikan hukum agama. Beliau mungkin memarahi seseorang yang melanggar hukum Agama. Namun beliau bukanlah orang yang selalu didalam keadaan demikian.


    Inilah yang disebut oleh Imam Jailani dengan kata beliau:

    "Dia (Murshid)mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu2 yang datang kepadanya dengan penuh kasihsayang." 


    9: Wajahnya, serta perlakuannya memberi kesan yang mendalam kedalam hati orang yang melihatnya.

    Sesungguhnya ini salah satu tanda yang besar menunjukkan ketinggian dan kemuliaan beliau di sisi Allah dan juga menunjukkan tanda kebenarannya sebagai seorang Aulia Allah yang mewarisi Nabi. Orang yang memandang beliau akan membawanya kepada ingat akan Allah Ta'ala. Bahkan hanya dengan mengingat2 akan wajahnya membawa kepada seribu Rahmat Allah didalam kehidupan dan menolakkan pelbagai kesusahan!


    10 : Terkenal di tempat jauh

    Seorang Shaikh yang benar akan dikenali oleh mereka2 yang jauh dari tempatnya. Allah Taala akan memberikan ilham dan petunjuk kepada manusia untuk mencari Shaikh ini walaupun dari jauh. Ulama2 meletakkan syarat ini sebagai membezakan dengan Guru palsu atau penipu.

    Ini kerana lazimnya Guru yang penipu akan sedaya upaya mengawal muridnya supaya tidak terbocor rahsia kejahatannya. Salah satu cara adalah dengan mengongkong mereka dengan dakwaan2 palsu. diantaranya : Kononnya dia seorang Murshid sebenar, tiada lagi Murshid didunia ini lagi. Guru ini mendakwa dia sudah wusul kepada Allah, maka tiada lagi takluk kepada Syari'at. Guru ini juga sering mengugut sesiapa yang meninggalkannya akan jatuh Murtad dan munafiq. Ini diantara taktik2 kejahatan Guru palsu....!

    Oleh sebab inilah seseorang murid perlu terbuka fikirannya dan jauh pandangannya. Jangan biarkan diri dikongkong oleh perasaan fanatik buta kepada seseorang yang mengaku dirinya Murshid. Perlulah kaji sedalam2nya dengan berdasarkan panduan2 Ulama Mu'tabarah. Ini adalah soal hidup mati. Soal syurga neraka! Soal redha atau Murka Allah Ta'ala!


    >>>>>
    Demikianlah kami dapat himpunkan syarat2 yang wajib ada pada seorang untuk melayakkan beliau sebagai Shaikh /Mursyid /Pewaris Nabi untuk memimpin Ummat! Waspadalah! Jangan kita tertipu oleh kehebatan zahir atau perbuatan2 luar biasa yang sering di lakukan oleh Golongan penipu yang bertujuan mengaut keuntungan duniawai daripada hamba2 Allah yang ikhals.

    Ini termasuklah "kelebihan Kasyaf" yang sering di tonjolkan oleh Guru Palsu, kononnya untuk meyakinkan bahawa dia Guru yang sebenar! Kami katakan : Sesungguhnya ramai orang kafir boleh "membaca fikiran" orang lain, boleh melihat benda2 ghaib. Jadi jangan lah kita terpesona dengan perlakuan2 ganjil yang cuba di tonjolkan.

    Banyak juga ahli2 sihir boleh mencengangkan manusia dengan pelbagai perkara yang kelihatan 'luarbiasa'. Jadi apa yang hendak dihairankan dengan 'pertunjukan' wayang yang dilakukan oleh golongan penipu ini....!

    Seorang Mursyid/ Shaikh / Pewaris Nabi yang sebenar akan menyembunyikan segala hal-ehwal luarbiasa yang Allah Anugerahkan kepadanya. Hal2 istimewa atau 'karamah' akan berlaku tanpa diusahakan, bahkan hanya semata2 kehendak Allah!


    Disini kami kemukakan beberapa petikan wasiat para Ulama Arifin berkenaan sifat2 Mursyid/ Shaikh/ Pewaris Nabi ;

    Berkata Imam Jilani Radiallahu Anh:

    Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak (Maqam mushahdah Mutlaq- pent).
    (Qalaid Al-Jawah)

    Sayyid-At-Tariqah As-Sufiyyah Shaikh Junaid Al-Baghdadi Radhiallahu 'Anh berkata :

    "Ilmu kami, ahli Tasawwuf diikat dengan Al-Qur'an dan Sunnah Nabi. Jika seseorang tidak menghafal Hadis Nabi dan tidak menulisnya didalam kitab2 dan tidak menghafal Al-Qur'an, dan tidak mahir didalam hukum2 syaria't dan tidak pula 'alim didalam ahwal perjalanan kerohanian, maka orang itu tidak layak diikuti sebagai pemimpin Ma'rifat ketuhanan. Maka jangan kamu mengambil ilmu daripadanya"

    Berkata Ghawthul A'zaham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu 'Anhu:

    "Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan. Dia mesti sangat mahir didalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya didalam haqiqat. Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu2 yang datang kepadanya dengan penuh kasihsayang. Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram. Dia memimpin si salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin, sempurna didalam kemurahan hatinya."(Qala'id Al-Jawahir)

    Berkata Shaikh Hujweri:

    Seorang Murshid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syariat dengan tegas tanpa berbelah bahagi. Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq. Seorang Murshid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari'at serta mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya. Orang seperti ini bukanlah Murshid (Shaikh) tetapi pengikut Syaitan dan musuh Islam.(Kashful Mahjoob)

    Berkata Imam Al-Ghazali :

    "Siapa yang mengatakan bahawa dirinya telah sampai kelada haal (hakikat) bersama Allah yang membuatnya bebas dari kewajipan solat atau bebas dari larangan minum khamar, maka membunuhnya adalah wajib, meskipun perlu peninjauan mengenai hukum kekalnya orang tersebut di neraka. Membunuh orang seperti ini adalah lebih utama daripada membunuh seribu orang kafir, kerana bahayanya lebih besar" (I'aanat-at-Talibin) 







    PERLUKAH KITA MENCARI ULAMA PEWARIS NABI?

    Adakah wajib atas seseorang mukallaf mencari Pewaris Nabi / Khalifah / Shaikh/ Mursyid ini? Adakah wajib membai'at dengan beliau sebagaimana para sahabat Baginda lakukannya terhadap Rasulullah ?

    Berdasarkan segala keterangan Ulama Mu'tabarah, setiap orang beriman wajib mencari seorang Shaikh atau Murshid yang menjadi Pewaris Nabi untuk memimpinnya kepada jalan Syari'at dan Haqiqat.


    Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

    “Dahulu kaum Bani Isra’il dipimpin oleh para Nabi. Setiap seorang nabi meninggal dunia, maka diganti seorang nabi lainnya. Maka sesungguhnya tidak ada nabi yang menggantikan setelah aku meninggal dunia, Namun yang menggantikanku adalah khalifah-khalifah. Maka mereka banyak mempunyai pengikut-pengikut ”, Sahabat bertanya, “Wahai Rasul apa yang engkau perintahkan pada kami?” Rasul menjawab, “Laksanakan baiat seperti baiat pertama kali di hadapan mereka dan tunaikan hak-hak mereka, Kalian mintalah kepada Allah yang menjadi bagian kalian, karena Allah Ta’ala menanyakan tentang apa yang mereka pimpin.” (Bukhari Muslim).


    Berdasarkan hadis Nabi di atas serta beberapa hadis Nabi yang lain, Ulama2 menyatakan bahawa wajib atas setiap mukallaf mencari Mursyid/ Shaikh /Pewaris Nabi yang haq ini dan berbai'at dengan beliau.

    Imam Fakhruddin Ar-Razi menyatakan,

    “Seorang murid tidak memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam hidayah dan mukashafah, kecuali dia mengikuti mursyidnya yang menunjukkannya ke jalan yang lurus serta menghindarkannya dari titik2 kesalahan dan jalan yang sesat.” (Tafsir Mafatih Al-Ghaib)


    Shaikh Abdul Wahab Asy-Sya’rani,

    “Jika jalan kaum sufi dapat dicapai dengan pemahaman tanpa bimbingan seorang Shaikh, nescaya orang seperti Al—Ghazali dan Shaikh Izzuddin Abdus-Salam tidak perlu berguru kepada seorang Shaikh(mursyid).


    Sebelum memasuki dunia Tasawwuf, keduanya pernah mengatakan, “ Setiap orang mengatakan ada jalan memperoleh ilmu selain apa yang ada pada kami, maka ia telah membuat kebohongan kepada Allah.”

    Akan tetapi setelah memasuki dunia Tasawwuf keduanya berkata, “Sungguh kami telah mensia-siakan umur kami dalam sia2 dan hijab”. Dan akhirnya kedua mereka mengakui Jalan Tasawwuf ahli Sufi sebagai jalan jalan terbaik menuju Allah.” (Lataif Al-Minan) 




    Imam Ath-Tayyibi berkata didalam kitab beliau,

    “Tidak patut bagi seorang yang alim – meskipun dia memiliki ilmu pengetahuan yang luas, sehingga dia menjadi salah seorang cendikiawan pada masanya – untuk merasa puas dengan apa yan diketahuinya. Yang wajib baginya adalah bergabung dengan para Ahli Toriqat Sufiyyah, agar mereka menunjukki jalan yang lurus. Sehingga dia menjadi salah seorang yang diajak berbicara oleh Allah didalam hati mereka kerana kesucian batin mereka, dan dibebasakan dari sifat2 tercela. (Hasyiah Al-Kasyaf)


    Imam Al-Ghazali berkata,

    “Bergabung dengan kalangan sufi adalah fardhu ‘ain. Sebab tidak seorang pun terbebas dari ‘aib atau kesalahan kecuali para Nabi.” (Khulasah At-Tasannif fi-Tasawwuf)

    Berkata Imam Al-Ghazali lagi,

    “Diantara hal yang wajib bagi seorang salik yang menempuh jalan kebenaran adalah dia wajib mempunyai seorang Mursyid dan pendidik spiritual yang dapat memberinya petunjuk dalam perjalanannya serta melenyapkan akhlak2 yang tercela dan menggantinya dengan akhlak2 yang terpuji.” (Ihya Ulumuddin)

    Ibnu Atha’illah berkata,
    Shaikh mu adalah orang yang sentiasa memberishkan cermin hatimu sehingga tampak jelas padanya cahaya2 Tuhanmu.” (Miftah Al-Falah) 





    BEBERAPA KEMUSYKILAN BERKENAAN MURSYID ATAU SHAIKH PEWARIS NABI : 

    Di sini kami senaraikan sebahagian persoalan yang sering di ajukan oleh Ummat Islam, samada mereka dari kalangan orang biasa atau juga mereka yang berpendidikan tinggi didalam agama:

    Soalan 1 : Masih adakah Shaikh atau Murshid yang benar di akhir zaman ini?

    Jawapan :
    Jika anda meneliti keterangan Hadis2 Nabi dan kata2 Ulama yang kami kemukakan sebelum ini, maka anda akan dapati Shaikh, Murshid ini pasti wujud sehingga akhir zaman. Ketika tiada lagi seorang pun Pewaris Nabi ini iaitu yang yang sebenarnya mewarisi cahaya Kenabian Muhammad صلى الله عليه وسلم, maka itulah alamatnya Qiamat dunia ini.

    Soalan 2 : Adakah wajib seorang Guru Mursyid itu bersilsilah sampai Nabi صلى الله عليه وسلم? (Iaitu perpindahan/penerimaan Ilmu dari satu generasi kepada generasi berikutnya secara mushafahah)?

    Jawapan :
    Silsilah merupakan rantaian keruhanian dari seorang Shaikh kepada Shaikhnya sehingga bertemu kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Ianya tidak boleh direka-reka atau dibuat2. Sesiapa yang cuba2 untuk mereka-reka, pasti akan batal dan pelakunya akan menemui kebinasaan!

    Oleh kerana Silsilah merupakan pancaran 'cahaya kenabian', maka ianya akan tetap mendapat pemeliharaan Allah Ta'ala. Tidak ada sesiapa pun dapat menentangnya atau merosakkannya.

    Jika seseorang Guru tiada silsilah keruhanian sampai Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bagaimana kita boleh mengakui akan kebenaran nya sebagai seorang Shaikh atau Mursyid yang mampu memimpin keruhanian sedangkan untuk memimpin manusia di jalan ketuhanan, seseorang Guru itu terlebih dahulu perlu di didik oleh Gurunya yang juga telah mendapat didikan keruhanian dari Murshidnya....demikian ke atas dan keatas sehingga akhirnya titik penerimaannya dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم.


    Soalan 3 : Adakah semua Shaikh atau Murshid mengamalkan satu atau lebih Toriqat ?

    Jawapan :
    Daripada keterangan sekalian Ulama Arifin yang menjadi pemimpin Ummat, semua Mursyid atau Shaikh wajib telah istiqmah dengan mengamalkan sekurang2nya satu Toriqat Sufiyyah. Ada di antara mereka mendapat keistimewaan mengamalkan lebih dari satu Toriqat berdasarkan Maqam dan kehampiran mereka dengan Allah Ta'ala.


    Soalan 4 : Bolehkah seseorang yang tidak bersanad sambung menyambung kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, menjadi Mursyid, mengajar Toriqat dan memberikan ijazah (iaitu bolehkah dia memimpin keruhanian si murid)?

    Jawapan :
    Sebagaimana kami menerangkan sebelum ini, Seseorang Guru yang tiada sanad silsilahnya sampai Rasulullah صلى الله عليه وسلم, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'atkan orang dan tidak boleh memberikan ijazah! Ini berdasarkan keterangan Hasil Mu'tamar Ahli Tariqah Mu'tabarah Nahdatul Ulama. Mereka mengambil dalil dari kitab2 berikut :

    (i) Khazinah Al-Asrar ms 188 (Shaikh Muhammad An-Nazili): Orang yang silsilahnya /sanadnya tidak bersambung ke hadrat Nabi صلى الله عليه وسلم itu terputus dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah صلى الله عليه وسلم, serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah."

    (ii) Usul At-Toriq, ms 89 : Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang silsilahnya tidak bersambung kepada Guru2 Toriqah (sehingga Rasulullah صلى الله عليه وسلم) dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan2 lain didalam Toriqah."

    (iii) Tanwirul Qulub, ms 534 (Shaikh Amin Kurdi) : Tidak boleh menjadi Guru Toriqah dan Murshid kecuali setelah mendapat penempaan dan izin, sebagaimana kata para Iman, kerana sudah jelas bahawa orang yang menjadi guru Toriqah tanpa izin itu bahayanya lebih besar daripada kemaslahatannya, dan ia memikul dosa sebagai perampas Toriqah serta jauh dari darjat murid yang benar apalagi darjat Guru Toriqah yang arif..!


    Soalan 5 : Adakah benar seseorang Pewaris Nabi, Shaikh, Murshid juga seorang Aulia Allah?

    Jawapan :
    Benar! Setiap seorang Murshid yang siddiq adalah beliau itu termasuk didalam Jamaah Aulia' Allah. Tetapi semasa hayatnya tidak di masyurkan sebagai Aulia Allah demi mengelakkan fitnah dan juga demi menolak para penipu dari mengambil kesempatan!

    Lazimnya mereka yang siddiq ini akan masyur namanya sebagai Aulia Allah sesudah kewafatan mereka. Namun ada juga Shaikh2 yang dahulu di masyurkan namanya sebagai Aulia Allah ketika hayat mereka seperti Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani [Qala'id Al-Jawahir] disebabkan ketinggian maqam beliau yang melampaui segala Aulia Allah pada zaman beliau!


    Soalan 6: Bagaimana jika kita ragu2 tentang seseorang Guru Murshid samada benar atau palsu atau macamana cara kita mencari Murshid?

    Jawapan :
    Telah berkata Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه :

    "Jika seseorang tidak dapat membezakan di antara Guru Kerohanian (Murshid, Shaikh Tasawwuf, Ahli Ma'rifat)yang sebenar dan yang palsu, dia perlu mengerjakan solat nafil 2 rakaat di waktu malam tahajjud, untuk memohon petunjuk Allah Ta'ala. Dia kemudiannya memohon kepada Allah menunjukki manusia2 suci ini yang akan memimpinnya kepada jalan kebenaran. Dia mesti sungguh2 merayu kepada Allah agar Dia memperlihatkan kepadanya orang yang akan membawa kepada kasih akan Allah Ta'ala dan yang akan menyinari mata hatinya dengan cahaya Ketuhanan. Dan yang akan membuka kepada kejadian2 ghaib yang beliau sendiri telah menyaksikannya. Dengan berbuat demikian, Insya Allah seseorang akan mendapat jawapannya dari Allah Ta'ala. (Fathur-Rabbaniyy)"

    Demikianlah huraian kami sekadar memberikan kefahaman asas siapakah yang digelar Pewaris Nabi, tugas2 mereka2, sifat2 mereka dan kewajipan seluruh Ummat untuk mencari mereka dan menyertai kafilah mereka. Mudah-mudahan mendapat hasil dan manfaat!

    Wallahu A'lam

    Rujukan utama :

    1. Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar
    2. Fathur Rabbaniy Wa Faidhul Rahmani
    3. Futuhatul Makkiyyah
    4. Risalah Qushairiyyah
    5. Kasyful Mahjoob,
    6. Ihya Ulumuddin
    7. Tanwirul Qulub
    8. Haqeqat Tasawwuf
    9. Himpunan Hasil Musyawarah Ahli Toriqah Mu'tabarah Nahdatul Ulama

    Catitan : Sesiapa yang ingin menyalin dan edarkan artikel ini kepada hamba2 Allah yang lain, sila sertakan rujukan laman ini..- amanat Tok Kelana.
    http://sejuta-muslim.blogspot.com/2011/01/siapakah-ulama-pewaris-nabi-shaikh.html#more